LTAT dedah kerugian 13.6 juta kerana transaksi meragukan


Diyana Ibrahim

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu tidak menyatakan tempoh masa untuk membayar divided LTAT. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2019.

LEMBAGA Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kerugian RM13.6 juta pada 2017 dan bukannya untung sebanyak RM259.99 juta seperti dilaporkan terdahulu, kata badan tersebut hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed berkata, kerugian tersebut disebabkan dua transaksi meragukan yang berlaku pada tahun itu.

Salah satu daripadanya adalah kes penjualan tanah di Jalan Cochrane dan Bukit Jalil berjumlah RM202.71 juta, kata beliau dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Jelasnya, jualan tanah tersebut tidak boleh diumumkan sebagai pendapatan kerana tidak mematuhi kriteria penjualan memandangkan ia masih belum dimuktamadkan.

Tambahnya, satu lagi kes meragukan adalah kejatuhan nilai saham pegangan LTAT sebanyak RM88.90 juta pada tahun sama.

Katanya nilai sebenar bagi dua saham iaitu Dayang Enterprise dan Sapura Energy adalah RM18.46 juta berbanding kos pembelian sebanyak RM107.36 juta.

“Penurunan nilai pasaran daripada kos yang signifikan atau berlanjutan adalah pertimbangan bahawa aset kewangan terjejas.

Beliau menyatakan demikian ketika menjelaskan Laporan Penuh Kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang didedahkan hari ini.

Dua transkasi meragukan dalam penyata kewangan LTAT bagi akaun berakhir 31 Disember 2017 itu ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Nik Amlizan berkata, kekeliruan kerugian yang direkodkan dalam LTAT pada 2017 adalah kerana pengurusan lalu yang tidak mengamalkan urus tadbir yang telus.

Justeru itu katanya, LTAT kini dalam usaha mengemaskini akaun laporan sepenuhnya dijangka siap Julai ini, katanya.

Dalam sidang media sama, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu juga tidak menyatakan tempoh masa untuk membayar divided LTAT.

Mohamad pada Selasa lalu berkata, kerajaan akan mendedahkan laporan penuh LTAT yang didakwa dimanipulasi kerajaan BN terdahulu pada Jun atau Julai ini.

Katanya laporan itu terpaksa ditangguhkan kerana pihak audit masih menelitinya.

Kenyataan menteri itu susulan tindakan bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan isu kelewatan dividen dan bonus LTAT serta Lembaga Tabung Haji (TH).  – 11 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen