JOHOR adalah milik Bersatu selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Muhyiddin Yassin berhubung khabar angin bahawa Amanah akan menyerahkan nama calon menteri besar jika diminta oleh Sultan.
Beliau berkata, pemimpin bagi setiap negeri sudah diputuskan pada pilihan raya umum (PRU) lalu dan ia sepatutnya tidak menjadi isu.
“Ia sudah diputuskan sejak PRU lalu siapa yang harus memimpin negeri sekiranya menang.
“Jadi dalam kes ini, Johor diberikan kepada Bersatu tetapi saya terbuka dengan cadangan diberikan kerana itu suara mereka dan kita akan mendengarnya.
“Tetapi akhirnya kita tahu ia (Johor) adalah Bersatu. Kami berharap apabila nama diserahkan, Sultan akan menerimanya,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.
Menteri Dalam Negeri itu juga berkata, ada dua atau tiga nama yang dikenal pasti sebagai calon untuk jawatan menteri besar tetapi harus dikaji sebelum diberikan kepada Sultan.
Ditanya sama ada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal adalah seorang daripada calon tersenarai, beliau hanya mengatakan tidak tahu. – 11 April, 2019.
Komen