Peguam periksa van EMRS selepas keterangan pakar forensik


Noel Achariam

Kumpulan peguam yang melawat Jabatan Bomba Subang bagi melihat kenderaan EMRS yang terlibat dalam kes Muhammad Adib Mohd Kassim, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 April, 2019.

PEGUAM hari ini membuat lawatan ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya untuk memeriksa kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang terlibat dalam kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hamdan Hamzah meminta lawatan ke tempat itu selepas mendengar keterangan pakar forensik bersara Prof Dr Shahrom Abd Wahid semalam.

Koroner Rofiah Mohamad kemudiannya menangguhkan prosiding bagi peguam dan pakar forensik melawat stesen bomba.

DPP Faten Hadini mengatakan lawatan ke tapak adalah untuk memeriksa van EMRS terutama bagi melihat kedudukan pintu.

“Terdapat beberapa sambungan (dengan pintu). Ini adalah sebahagian daripada siasatan.

“Itulah sebabnya semua pihak sepatutnya melihat kenderaan itu,” katanya di kompleks Mahkamah Shah Alam.

Faten berkata apa sahaja keputusan itu akan berdasarkan keterangan dalam inkues tersebut.

“Terdapat hubungan dengan keterangan semalam. Itulah sebabnya para forensik juga pergi untuk melihat kenderaan itu.”

Kumpulan itu menghabiskan masa kira-kira sejam di stesen memeriksa van yang disimpan sejak kejadian di kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang tahun lepas.

Shahrom, yang melakukan banyak autopsi bagi kematian bukan semulajadi, semalam berkata Adib patah tulang rusuk selepas penyerang menghentak pintu kenderaan EMRS ke badannya dengan daya yang kuat.

Penilaiannya berbeza daripada kesimpulan ahli patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Mohd Shah Mahmood dan Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang hadir di lawatan tapak.

Kedua-dua doktor memberi keterangan kecederaan dialami Adib tidak konsisten bagi individu yang diserang.

Shahrom berkata, Adib tidak mungkin cedera jika tiada paksaan dari  luar.

Adib adalah sebahagian daripada pasukan bertindak yang dihantar dari stesen Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya pada 27 November, ke kuil sebagai respons kepada panggilan mengenai kereta dibakar di situ.

Beliau mengalami kecederaan semasa kejadian dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember. – 11 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen