MUHYIDDIN Yassin mengetepikan sebarang cadangan untuk beliau menerajui kerajaan Johor sekali lagi.
Adun Bukit Gambir itu berkata, selepas pernah menjadi menteri besar (MB) Johor, beliau berpendapat tidak wajar baginya memegang semula jawatan itu tetapi berkata bersedia membantu MB akan datang.
“Saya rasa tidak wajar untuk menjadi MB lagi tetapi saya bersedia membantu (MB seterusnya).
“Sebagai bekas MB dan kini Adun Bukit Gambir, saya melihat pentingnya pentadbiran negeri Johor diurus dengan baik, Johor bergerak maju dan ia dapat memberi manfaat kepada ramai orang.
“Oleh itu, sebagai salah seorang bekas MB, saya akan membantu sesiapa sahaja yang dipilih oleh Sultan untuk menjadi MB seterusnya agar segala-galanya berjalan lancar,” kata presiden Bersatu itu pada sidang akhbar di Stesen Udara Maritim Subang hari ini
Pemimpin pembangkang Johor dan bekas exco kanan Hasni Mohammad semalam mencadangkan bekas MB dan menteri dalam negeri itu untuk menerajui Johor.
Beliau akan mengajukan nama Muhyiddin sebagai MB akan datang kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Hasni berkata beliau diberikan penghormatan untuk mengadap bersama Sultan Johor esok.
“Mengapa tidak Muhyiddin? Beliau mempunyai pengalaman kerana pernah menjadi bekas MB Johor, timbalan perdana menteri, dan timbalan presiden Umno.
“Muhyiddin juga adalah Adun Bukit Gambir dan ia melayakkan beliau bukan hanya sebagai Ahli Dewan Undangan Johor, tetapi juga untuk jawatan MB,” kata Hasni dipetik berkata oleh The Malay Mail semalam. – 11 April, 2019.
Komen