Pegang 39 jawatan Felda dan FGV, Isa Samad nafi wujud konflik kepentingan


Bede Hong

Isa Samad menafikan wujud konflik kepentingan kerana memegang 39 jawatan dalam pelbagai anak syarikat Felda ketika menjadi pengerusinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulekfli, 11 April, 2019.

BEKAS pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad menafikan wujud sebarang konflik kepentingan kerana 39 jawatan yang dipegangnya dalam pelbagai anak syarikat agensi itu.

Jumlah jawatan dipegang Isa didedahkan dalam Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Parlimen semalam.

“Kertas (putih) tak sebut. Bagaimana boleh ada konflik kepentingan? Adakah kerana saya pengerusi Felda, FGV (Holdings)...adakah itu yang mereka maksudkan sebagai konflik kepentingan?” katanya kepada wartawan di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Kertas Putih Felda dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali semalam, yang mendedahkan jumlah jawatan dipegang Isa melanggar amalan terbaik korporat dan menghalang mekanisme semak imbang saksama dilakukan.

Laporan menyebut situasi itu akan menyebabkan wujud konflik kepentingan dan salah tadbir, menyebabkan amalan kerja kurang intergriti.

Isa akan mula dibicara pada 7 Oktober depan kerana satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan tuduhan rasuah berkaitan pembelian hotel di Kuching ketika menjadi pengarah Felda Investment Corporation (FIC). – 11 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen