Johor masih negeri di Malaysia, sindir PM


Alfian Z.M. Tahir

Saya percaya Johor masih sebahagian negara ini. Kecuali lah jika ia negara asing, saya tak mahu masuk campur urusan dalaman negara asing, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 11 April, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau ada hak buat keputusan mengenai Johor kerana negeri itu masih dalam Malaysia yang diterajuinya.

“Saya percaya Johor masih sebahagian negara ini. Kecuali lah jika ia negara asing, saya tak mahu masuk campur urusan dalaman negara asing,” sindir Dr Mahathir hari ini apabila diminta mengulas amaran Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya pihak luar tidak masuk campur urusan negeri semalam.

“Saya mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik sebaliknya tumpukan kepada usaha menjaga negara.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang Sultan,” titahnya dalam kenyataan dikeluarkan di Facebook semalam.

Dr Mahathir dan Istana Johor terlibat dalam siri perang mulut di media sosial, yang capai kemuncaknya apabila perdana menteri memberi amaran kepada putera mahkota Johor bahawa tindakan boleh diambil jika kenyataan baginda berbaur hasutan.

Isu terbaru melibatkan Putrajaya dan Istana Johor adalah peletakan jawatan Osman Sapian selaku menteri besar dan siapa yang berkuasa melantik penggantinya. – 11 April, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen