Bersatu tentukan siapa MB Johor, bukannya Umno, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan hanya Bersatu mempunyai kuasa menentukan calon menteri besar Johor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 11 April, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Umno tiada kuasa menentukan siapa  yang akan menjadi menteri besar (MB) Johor seterusnya.

Beliau berkata ia terpulang kepada parti yang memegang kuasa untuk membuat keputusan mengenai pengganti Osman Sapian, iaitu Bersatu.

“Parti yang menang mempunyai kuasa, bukan yang kalah,” kata Dr Mahathir selepas Umno Johor semalam mencadangkan Muhyidin Yassin dipilih untuk menggantikan Osman sebagai MB.

“Beliau mempunyai tugas lain. Kami ada calon lain,” kata Dr Mahathir hari ini selepas menghadiri pameran motor di Serdang hari ini.

Pemimpin pembangkang Johor dan bekas exco Hasni Mohammad semalam mencadangkan bekas MB dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin untuk menerajui negeri itu.

Beliau berkata akan mengajukan nama Muhyiddin sebagai MB kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Hasni berkata beliau diberikan penghormatan untuk mengadap Sultan Johor esok.

“Mengapa tidak Muhyiddin? Beliau mempunyai pengalaman dan pernah menjadi bekas menteri besar Johor, timbalan perdana menteri, dan timbalan presiden Umno.

“Muhyiddin juga adalah Adun Bukit Gambir dan yang melayakkan beliau bukan hanya sebagai anggota Dewan Undangan Negeri Johor, tetapi juga untuk jawatan menteri besar negeri,” kata Hasni yang dipetik oleh The Malay Mail semalam. – 11 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen