Pasukan selamatkan kuil Seafield persoal ‘layanan diam’ AGC


Noel Achariam

Status tanah kuil di Seafield yang jadi punca rusuhan tahun lepas masih belum selesai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 April, 2019.

PASUKAN Tindakan Khas Kuil Sri Maha Mariamman Seafield mempersoalkan “layanan diam” daripada Jabatan Peguam Negara tentang status tempat ibadat mereka.

Mereka berharap AGC akan bertemu dengan pasukan untuk menjelaskan siapa yang akan dilantik sebagai pemegang amanah kuil berusia 157 tahun itu. Kuil itu jadi tumpuan negara selepas tercetus rusuhan pada November lepas kerana perebutan tanah.

Setiausaha V. K. Regu berkata pengumuman pembentukan jawatankuasa itu dibuat Peguam Negara Tommy Thomas tahun ini tetapi masih tiada tindakan dibuat.

“Pihak AG masih berdiam diri. Kami sudah hantar dua surat sejak Januari lalu meminta pertemuan diadakan, tetapi kami masih belum terima sebarang jawapan daripada mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selepas rusuhan berlaku pada 26 dan 27 November tahun lepas, kerana keengganan pihak pengurusan kuil berpindah seperti dipersetujui sebelum ini, AGC berkata tanah seluas 0.4 hektar itu akan diserahkan kepada pemegang amanah ditadbir mahkamah.

Pemaju One City Development Sdn Bhd sudah menyatakan sokongan kepada penyelesaian menyeluruh konflik tanah itu, yang dicadangkan Thomas dan tertakluk kepada syarat dan terma dipersetujui pihak terlibat.

Regu berkata mereka berharap Thomas dapat berjumpa pasukan dan menjelaskan situasi semasa.

“Mereka kata pemegang amanah akan dilantik tetapi apa perkembangan semasa?

“Kami tak tahu apa yang berlaku di AGC. Jika mereka beritahu kami (perkembangan) ia cukup baik.”

Rusuhan kuil tahun lepas menyaksikan sekumpulan lelaki bertopeng menyerbu masuk kuil dan memaksa penganut keluar, menyebabkan kerosakan harta benda dan kenderaan.

Ia juga menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim walaupun inkues punca kematian masih berjalan. – 11 April, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen