PBB gesa keganasan di Tripoli, Libya dihentikan


Minggu lepas, Tentera Kebangsaan Libya (LNA) yang diketuai Khalifa Haftar, telah melancarkan satu kempen ketenteraan bagi mengambil alih Tripoli. – Gambar AFP, 11 April, 2019.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Rabu menggesa agar keganasan di sekitar ibu kota Tripoli, Libya dihentikan sepenuhnya, lapor agensi berita China Xinhua.

Dalam satu sidang akhbar selepas memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan mengenai isu Libya, Guterres berkata beliau berharap masih ada masa untuk gencatan senjata berlaku dan mengelak pertempuran berdarah dalam usaha menguasai bandar itu.

“Kita perlu memulakan semula dialog dan rundingan politik secara serius  namun adalah jelas perkara itu tidak boleh dilakukan tanpa menghentikan sepenuhnya keganasan,” katanya.

Minggu lepas, Tentera Kebangsaan Libya (LNA) yang diketuai Khalifa Haftar, telah melancarkan satu kempen ketenteraan bagi mengambil alih Tripoli.

Satu serangan udara ke atas sebuah lapangan terbang di luar Tripoli baru-baru ini, yang dikuasai LNA, telah menyaksikan penutupan satu-satunya lapangan terbang yang masih berfungi di ibu kota itu, yang hanya menyambung semula operasi malam pada Selasa.

Dalam sidang akhbar pada Selasa, pemimpin PBB itu turut melahirkan kebimbangan mengenai pendatang dan pelarian yang terperangkap dalam peningkatan aktiviti ketenteraan.

Sementara itu, agensi pelarian PBB telah memindahkan satu daripada kem tahanan susulan “kebimbangan yang melampau” berhubung pendatang, pelarian dan warga asing di Tripoli. – Bernama, 11 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen