Kedai kopi dijangka naik harga untuk tampung cukai gula


Khoo Gek San

Kedai kopi sedang bersiap sedia menaikkan harga minuman kerana pengenalan cukai gula yang bermula 1 Julai depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2019.

PENGENDALI kedai kopi sedang bersiap sedia menaikkan harga minuman bagi menampung kos tambahan terpaksa ditanggung mereka disebabkan pelaksanaan cukai gula yang dijangka bermula 1 Julai depan.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura Ho Su Mong berkata, pemilik restoran bercadang mengenakan caj sebanyak 50sen untuk pelanggan yang tidak memesan minuman tetapi duduk di kedai mereka.

“Akan ada kedai kopi yang buat begini, dan kebanyakan kedai kopi tak benarkan pelanggan bawa makanan dan minuman mereka sendiri. Jika anda bawa makanan dan minuman sendiri, anda masih perlu bayar,”katanya.

Dedahnya lagi, di Pulau Pinang, sebilangan kedai kopi sudah melaksanakan amalan tersebut.

Ho berkata mengenakan caj terhadap pelanggan yang tidak memesan minuman adalah tindak balas kepada ramalan akan berlaku penurunan pesanan kerana peningkatan harga.

“Peningkatan harga terbesar pastinya air berkarbonat. Untuk kopi, teh dan minuman lain yang dibuat di kedai, kalaupun ada kenaikan harga, pemilik kedai besar kemungkinan tak akan pindahkan kepada pelanggan. Orang ramai ada lebih kesedaran kesihatan sekarang dan ramai pelanggan akan minta (minuman mereka) kurang gula,” katanya.

“Kami tidak akan menaikkan harga minuman yang dibuat di kedai walaupun minuman bergula dicukai, untuk minuman berkarbonat dan air berpaket (kotak, tin dan botol), kami perlu tunggu dan lihat berapa kenaikan harga dibuat pengeluar.”

November lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan yang semua minuman bukan alkohol yang mengandungi 5g gula untuk setiap 100g akan dicukai, termasuklah untuk jus mengandungi lebih 12g gula untuk setiap 100g.

Minuman yang dibuat di kedai tidak akan dikenakan cukai, tetapi kenaikan harga dijangka berlaku untuk minuman berpaket termasuklah minuman berkarbonat dan jus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2019.

Demi kesihatan

Ketua Great Vision Advisory Group Chua Tia Guan berkata matlamat utama kerajaan memperkenalkan cukai gula adalah kesihatan awam dan bukannya untuk mendapatkan pendapatan.

“Bila kerajaan perkenalkan cukai gula, pengeluar akan menurunkan jumlah gula dalam produk mereka. Ini akan mewujudkan tabiat makan dan minuman rakyat yang lebih sihat, pada masa sama Kementerian Kesihatan juga sudah bertindak meningkatkan kesedaran pemakanan sihat,” kata Chua.

Katanya lagi, cukai gula juga banyak dilaksanakan negara lain bagi membaiki tabiat pemakanan sihat rakyatnya, malah ada negara yang mengenakan cukai ke atas makanan seperti kek dan manisan.

“Seorang dalam lima orang dewasa adalah obes, seorang dalam lima kanak-kanak adalah obes,” kata Chua, menambah yang rakyat perlu melihat kesan baik cukai tersebut.

“Disebabkan penyakit kencing manis dan jantung, ia wajar diberikan perhatian.”

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada Isnin berkata cukai gula hanya akan dikenakan ke atas pengeluar, manakala minuman dibuat di kedai masih dikecualikan.

“Buat masa sekarang, kami tak pantau kedai makanan dan minuman.

“Cara terbaik adalah mendidik orang awam supaya mengurangkan pengambilan minuman dengan pemanis atau pewarna di restoran. Kami mahu mereka kurangkan pengambilan, bukan buat peraturan baharu,” katanya. – 12 April, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen