EU beri Britain tempoh 6 bulan tangguh Brexit


Perdana Menteri Britain Theresa May dan 27 pemimpin EU yang lain bersetuju lanjutan fleksibel sehingga 31 Oktober. – Gambar EPA, 11 April, 2019.

PEMIMPIN Eropah bersetuju dengan Britain pada Khamis untuk menangguhkan Brexit selama enam bulan, menyelamatkan benua itu daripada kekecohan tanpa perjanjian pemisahan pada akhir minggu ini.

Persetujuan itu diperoleh semasa rundingan lewat malam di Brussels yang bermakna jika London kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) selepas 22 Mei, pengundi Britain terpaksa mengambil bahagian dalam pilihan raya Eropah.

Perdana Menteri Theresa May dan 27 pemimpin EU yang lain “bersetuju lanjutan fleksibel sehingga 31 Oktober”, kata Presiden Majlis Eropah Donald Tusk di Twitter.

“Ini bermakna enam bulan tambahan bagi UK untuk mencari penyelesaian terbaik.”

Presiden Perancis Emmanuel Macron adalah suara terkuat menentang lanjutan itu, tetapi kebanyakan pemimpin menyokongnya dan Perancis terpaksa bersetuju dengan perjanjian ia akan disemak pada sidang kemuncak EU 21 Jun nanti.

Kebanyakan pemimpin berkumpul untuk sidang kemuncak tergempar, termasuk Canselor Jerman, Angela Merkel, menyokong rancangan Brexit ditangguhkan selama setahun.

Tetapi ketika perbincangan berlangsung pada pagi Khamis, Macron - dengan sokongan Belgium, Austria dan beberapa negara EU lebih kecil - menuntut masa lebih singkat hanya beberapa minggu dan menuntut jaminan London tidak akan campur tangan dalam urusan EU sepanjang tempoh itu.

May sudah mengatakan jika Britain masih menjadi anggota EU apabila pilihan raya Parlimen Eropah bermula pada 23 Mei, pengundi UK akan mengambil bahagian. Tetapi sesetengah pemimpin EU tidak yakin keikhlasannya, walaupun seorang pegawai memberitahu pemberita pembentangannya adalah “kukuh”.

Tanpa penangguhan, Britain akan menamatkan keanggotaannya selama 46 tahun dalam EU pada tengah malam (2200 GMT) pada Jumaat tanpa perjanjian, berisiko menyebabkan kekacauan ekonomi di kedua-dua belah Terusan.

May bersetuju dengan perjanjian pemisahan dengan EU pada November lepas tetapi Ahli Parlimen di London menolaknya tiga kali, memaksa beliau berpaling kepada parti pembangkang utama dalam usaha menjayakannya. – AFP, 11 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen