KELUARGA wartawan dibunuh Jamal Khashoggi menafikan pada Rabu mengenai perbincangan penyelesaian luar mahkamah dengan pihak berkuasa Arab Saudi susulan laporan anak-anaknya sudah menerima pembayaran.
“Pada masa ini, perbicaraan sedang berjalan dan tiada perbincangan penyelesaian dibuat atau dibincangkan,” menurut kenyataan berhahasa Inggeris yang disiarkan di akaun Twitter, Salah Khashoggi.
The Washington Post pada 1 April melaporkan anak-anak Khashoggi, termasuk Salah, sudah menerima kediaman bernilai jutaan dolar dan dibayar ribuan dolar setiap bulan oleh pihak berkuasa.
Khashoggi - penulis di The Washington Post dan pengkritik kerajaan Arab Saudi - dibunuh pada Oktober di konsulat kerajaan di Istanbul oleh satu pasukan terdiri daripada 15 ejen yang dihantar dari Riyadh.
Mayatnya masih tidak ditemui sehingga kini.
Putera mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dituduh mengarahkan pembunuhan Khashoggi, tetapi siasatan pihak berkuasa tempatan melepaskannya.
Riyadh pada mulanya mengatakan ia tidak mengetahui mengenai Khashoggi tetapi kemudian menyalahkan ejen sebagai penyebab kematiannya.
Pendakwa raya Saudi Arabi mendakwa 11 orang bagi pembunuhan tersebut.
Anak lelaki Khashoggi berkata hanya keluarga dan peguam mereka diberi kuasa sebagai “sumber maklumat”.
Kenyataan itu tidak secara terbuka mengesahkan atau menolak kemungkinan pampasan daripada Raja Arab Saudi atau putera mahkota.
“Tindakan kemurahan hati dan kemanusiaan datangnya daripada asas moral yang tinggi dimiliki mereka, bukannya pengakuai bersalah atau skandal,” kata kenyataan itu.
Menurut The Washington Post, pembayaran kepada empat anaknya - dua orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan - “adalah sebahagian daripada usaha Arab Saudi untuk mencapai perjanjian jangka panjang dengan ahli keluarga Khashoggi, yang bertujuan memastikan mereka berterusan mengekang kenyataan awam mereka”.
Pembunuhan Khashoggi mencetuskan bantahan antarabangsa dan gesaan mengakhiri penjualan senjata ke Arab Saudi, yang mengetuai kempen ketenteraan serantau melawan pemberontak Yaman yang dikaitkan dengan Iran. – AFP, 11 April, 2019.
Komen