Apa agama Tuhan?


Mohd Syazreen Abdullah

KEBENARAN bukan bersandarkan akal dan sains sahaja. Kadangkala ia muncul dari sisi spiritual – Wujud irfani atau muthlaq al-Wujud.

Namun, kebenaran itu misteri dan luas. Kadangkala paradoks. Seolah-olah berenang-renang di lautan nan luas tanpa menyentuh air. Tidak terjangkau dek kesedaran manusia biasa.

Justeru, kebenaran tidak harus diukur dengan  manhaj atau pegangan. Fuqaha, mutakkalimin, dan ahli falsafah berkelahi antara satu sama lain gara-gara mahu tampak Wujud Tuhan yang paling tepat, malah memaksakan satu-satunya teologi dan menolak  pandangan lain.

Sebahagian aliran mahu Wujud Tuhan didefinisi melalui struktur, formaliti, aturan, pegangan dan aliran-aliran tertentu. Misalnya, sebahagian kelompok taasub mazhab tidak menerima pandangan yang dianggap keliru atau wahm di dalam memaknai Tuhan mengikut pandangan para sufistik.

Kemuncaknya, sikap itu boleh mengacu ekstrimis dalam bertauhid apabila orang mula mendefinisikan Tuhan. Sedangkan, Tuhan tidak perlu didefinisikan. Mereka dakwa kenal Tuhan satu-satunya Wujud dalam tafsirannya.

Mereka tumpukan terhadap tanzih kesucian semata-mata. Tanpa sedar ia menafikan sifat Tuhan dalam manifestasiNya di alam inderawi.

Kemurnian Tuhan menampakkan sifat paksaan dan kekerasan kepada umat agar patuh menyembah Tuhan – ritual. Ibadat disempitkan dalam ruang ritual kesucian Tuhan.

Walhal mereka gagal melihat, alam nan luas adalah bentuk manifestasiNya dengan sifat pelbagai – misteri.

Justeru, janganlah angkuh dengan satu-satu kebenaran sahaja!

Misalnya, bermati-matian mengajak umat menyembah Tuhan seperti sembahan kita. Tiada kompromi selain ghairah meletakkan simbol tuhan untuk menampakkan “Tuhan” kita sahaja.

Lalu mereka aturkan Tuhan mengikut pegangan dan aliran mereka, seolah-olah mahu meletakkan agama terhadap Tuhan. Maka teologi kebenaran eksklusif begini bukan sahaja mendatangkan perkelahian, bahkan mereka berperang demi berebut Tuhan.

Maka sifat-sifat Tuhan yang sepatutnya diterjemah ke  dalam diri manusia terabai. Mereka gagal menafsir citra Tuhan ke dalam kehidupan. Walhal sifat itu diterap Tuhan kepada model ummah iaitu Rasulullah.

Pesan ar-rahman, ar-rahim, belas kasih yang ada pada Rasulullah ke atas citra Tuhan tidak diikuti umatnya. Ironinya, mereka mengaku kenal Tuhan dan Rasulullah. Namun, praktisnya gagal.

Hakikatnya, mereka gagal kenal Tuhan kerana gagal mengenali diri mereka. Hanya buat-buat kenal Tuhan.

Antara tanzih (menyucikan) dan tasybih (Keserupaan)

Jika manusia ingin mengenal Sang Mutlak dengan kemampuan nalar kebiasaan semata-mata, dia pasti gagal mengacukan konsep tanzih yang tidak menggerakkan tasybih. Dia hanya kenal Tuhan dari kewujudan yang bersandar pada diriNya sahaja.

Sedangkan dia lupa bahawa Tuhan tidak mengasingkan sifat-sifatNya di dalam alam semesta – penzahiran (Tajalli)

Toshihiko Izutsu dalam karyanya “Sufism and Taoism: A Comparative Study of Key Philosophical Concepts” menyebut tanzih yang bermaksud menjaga sesuatu daripada noda atau sesuatu yang tidak murni – penyucian.

Dalam teologi disebut Tuhan secara mutlak bebas dari segala ketidaksempurnaan. Sifat Tuhan tidak boleh didefinisi dengan nalar akal semata-mata kecuali kepada tanzih (penyucian). Nalar yang menyikapi sang mutlak tidak boleh diketahui – abstrak.

Tasybih pula adalah keserupaan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Dalam teologi disebut menyerupakan Tuhan dengan benda-benda ciptaan. Ibnu Arabi melalui karyanya Fusus al-Hikam memaknai istilah tanzih sebagai menyucikan pada sang mutlak – kemutlakan.

Justeru, tasybih merujuk pada aspek keterikatanNya. Maka tasybih adalah terjemahan kepada kemutlakan Sang Mutlak (tanzih-menyucikan) melalui manifestasiNya. Menurut Ibn Arabi lagi, konsep tersebut saling lengkap melengkapi.

Jadi, bagaimana sifat Tuhan dalam alam inderawi – universal?

Kisah Musa dan Firaun

Dalam Fusus al-Hikam, Ibnu Arabi memberi contoh yang termaktub dalam Quran lewat dialog Musa dan Firaun. Nabi ditanya Firaun tentang “apakah tuhan semesta alam itu? Ma rabbul alamain. (Surah 26, ayat 23-24)

Musa menjawab, “Tuhan pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antaranya.” Ibn Arabi menganggap pertanyaan Firaun adalah soalan filosofi tentang mahiyah Tuhan (apa itu Tuhan) atau definisi Tuhan. Bagi Ibn Arabi, jawapan Musa kepada Firaun adalah tafsiran yang tepat.

Menurut Ibn Arabi, jawapan Musa ada rahsia agung yang tersembunyi. Musa ditanya berkaitan definisi esensi (zat) Tuhan lalu beliau memberi jawapan dengan menyebutkan tindakan Tuhan (fi’il) iaitu manifestasiNya di dalam alam.

Sebagaimana sifat mutlak Tuhan digambarkan menciptakan langit dan bumi terpancar pada manifestasiNya.

Maka esensi Tuhan wujud dalam bentuk pelbagai – tanzih adalah sifat suci Tuhan yang menciptakan dan tasybih adalah langit dan bumi sebagai manifestasiNya.

Walhal, Firaun bukan tidak tahu. Namun dia ingin menguji Musa sama ada Musa benar-benar faham tentang esensiNya. Penonton yang hadir dialog itu tidak menjangka jawapan bernas Musa.

Bahkan niat Firaun hanya mahu menggambarkan Tuhan ada di luar eksistensinya – terpisah antara tanzih dan tasybih. Seolah-olah mahu menunjukkan “kepenunggalan” Tuhan tidak ada – manifestasiNya.

Maka, Dia (Tuhan) menampakkan semua bentuk alam dari yang tertinggi iaitu dari langit sampai bawah bumi. Tuhan menampakkan kewujudan zatNya – diriNya.

Musa menegaskan lagi jawapannya pada ayat 26-28.

Menurut Ibn Arabi dalam tafsiran ayat itu, Timur disebut Musa adalah tempat penampakan matahari. Simbol kepada aspek fizikal dari tajalli (penzahiran) Tuhan. Barat adalah tempat terbenamnya matahari yang menyembunyikan dirinya dari pandangan mata.

Itu simbol aspek ghaib daripada manifestasi sang mutlak. Maka Tuhan al-zhahir dan al-bathin – Tuhan maha mengetahui segala-galanya (bi kulli syai in alim) maha tampak dan maha tersembunyi.

Maka (penzahiran) tajalli hadir dalam alam al-ajsam (alam fizikal) sedangkan (penzahiran) tajalli ghaib menimbulkan alam spiritural. Kedua-duanya mengacu kepada alam amtsal atau citra pada tingkat imaginasi.

Justeru, Ibn Arabi menyakini jawapan Musa menyangkut pada keyakinanNya. Jawapan dituju kepada mereka yang memiliki keyakinan dan mengetahui hakikat Tuhan.

Dalam jawapan itu, Musa menggambarkan tanzih Tuhan iaitu Tuhan yang berkuasa ke atas segala sesuatu sama ada batin, zahir melalui sifatNya.

Seterusnya, respons kedua Musa diikat dengan ketajaman akal (in kuntum taaqilun) iaitu klausa yang mensyaratkan kepada jawapan pertama.

Sudah pastilah orang yang berfikir dan menggunakan nalarnya dengan betul benar-benar tahu dan memahami segala sesuatu pada akal yang terbatas. Musa cuba menjelaskan Sang Mutlak dalam aspek penyingkapan diriNya yang universal. Tidak sempit.

Tuhan bukan agama

Walaupun hadirin dialog antara Musa dan Firaun masih keliru dan samar-samar dengan jawapan Musa, namun, Firaun seolah-olah mengakui jawapan Musa sebagai tepat walau dia secara luarannya cuba menafikan hakikatnya.

Firaun tidak boleh menafikan kebenaran itu. Niat Firaun mahu menunjukkan seolah-olah Musa tidak kenal penciptaNya. Malangnya, dakwaan itu meleset.

Jawapan Musa menggambarkan Tuhan tidak mungkin diikat pada definisi, struktur, aturan bahkan agama atau aliran tertentu. Jangan sandarkan apatah lagi sempitkan kemutlakan Tuhan dengan agama.

Kelak akan terjadi tafsiran eksklusif yang kononnya Tuhan Wujud pada agama tertentu sahaja.

Justeru, soalan perangkap Firaun kepada Musa bagi mengaburkan konsep Tuhan ternyata gagal. Musa benar-benar kenal Tuhan – menyatukan tanzih dan tasybih.

Jawapan Musa memang tepat. Disebut Ibn Arabi sebagai paling sempurna. Inilah jawapan orang yang benar-benar kenal penciptanya – Sang Mutlak.

Musa tidak menjawab soalan Firaun dengan menyebut  “Allah agama milik umat itu atau ini” – atau bahasa golongan eksklusif Islam hari ini yang menyebut “Allah agama Islam”. Itu jawapan orang yang angkuh dan acah-acah kenal Tuhan!

Walau zahirnya seakan-akan betul tetapi tidak tepat. Ia memisahkan yang universal dengan partikular. Umat hari ini berfikiran partikular dengan menatijahkan kefahaman sempit dan eksklusif.

Walhal Tuhan adalah universal menyangkuti semua yang ada. Ironinya, kekerasan hari ini berpunca daripada umat yang gagal memahami universal Tuhan sebaliknya menganut faham teologi yang eksklusif – sempit! – 11 April, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen