Kos lesen baharu dorong pemandu sambilan e-hailing berhenti


Ragananthini Vethasalam

Setiap pemandu perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM700 hingga RM800 bagi kos lesen PSV, pemeriksaan kesihatan, insurans dan permit. – Gambar Facebook, 11 April, 2019.

KOS mengambil lesen kenderaan memandu perkhidmatan awam (PSV) yang sangat tinggi - diperlukan untuk pemandu dan syarikat e-hailing bermula 12 Julai - akan menyebabkan ramai pemandu berhenti kerja dan kehilangan sumber pendapatan tambahan.

Ketua Pemasaran JomRides, Musfaizal Mustafa berkata apabila keputusan baru berkuatkuasa, seorang pemandu perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya RM700 hingga RM800 bagi kos lesen PSV, pemeriksaan kesihatan, insurans dan permit e-hailing serta pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom.

Selain itu, semua pemandu e-hailing mesti mengambil kursus latihan lesen PSV selama enam jam yang menelan kos RM200 di bawah peraturan baru.

Musfaizal berkata kebanyakan pemandu syarikat menyuarakan kebimbangan mereka mengenai syarat baru itu, dan hampir separuh daripada pemandu sambilan merancang untuk berhenti.

Kira-kira 75% daripada 25,000 pemandu JomRides adalah mereka yang bekerja separuh masa, katanya.

“Akan ada kekurangan pemandu selepas 12 Julai tetapi permintaan daripada penumpang tetap sama.”

Beliau berkata tambang tertakluk kepada permintaan, sambil menambah JomRides tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan tambangnya lagi.

Bagi Pengurus Projek dan Pengurus Kanan Riding Pink, Elina Ariffin berkata kos tambahan yang terlibat dalam lesen dan latihan PSV tidak adil kepada pemandu yang sebahagian besarnya wanita daripada kumpulan berpendapatan B40.

Beliau berkata Riding Pink melihat purata 5 hingga 10 pemandu yang berhenti setiap hari sejak pendaftaran lesen PSV dibuka pada 1 April.

“Disebabkan jumlah yang mereka perlu bayar. Itulah punca mengapa pemandu menghantar e-mel kepada kami dengan mengatakan mahu akaun mereka dinyahaktifkan dan kredit dikembalikan. Jadi, inilah yang kami sedang hadapi sekarang.

Presiden Persatuan Pemandu Malaysia, Arif Asyraf Ali bersetuju kos lesen PSV menjadi isu kepada pemandu sambilan, sambil menambah kira-kira 50% pemandu mereka dijangka berhenti sebaik sahaja peraturan itu berkuatkuasa.

Garis panduan tidak jelas

Elina berkata terdapat banyak mesyuarat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum peraturan itu berkuatkuasa, tetapi garis panduan mengenai PSV hanya didedahkan bulan lepas.

Bagaimanapun, garis panduannya tidak jelas, katanya.

“(Pertemuan berlaku) sejak tahun lepas apabila mereka berkata kita terpaksa melalui semua ini tetapi setiap mesyuarat yang kami pergi, kami tidak diberi garis panduan yang betul sehingga pertemuan terakhir kami pada 4 Mac.”

Bagaimanapun, walaupun ada yang kecewa dengan kawalan terhadap industri e-hailing dan masa depan suram bagi pemandu sambilan, Daryl Chong, presiden Persatuan Pemandu E-Hailing Malaysia (Mehda), berkata keputusan baharu kerajaan akan memberi manfaat kepada industri dalam jangka masa panjang.

“Pemandu yang berhenti tidak dapat dielakkan,” kata Chong kepada The Malaysian Insight.

“(Tetapi) RM800 ini tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk terus memandu kerana dalam jangka masa panjang, apa sahaja yang mereka dapat pasti lebih daripada itu.”

Chong berkata dasar baru ini akan memastikan ekosistem e-hailing dikawal dengan baik, supaya ada harga siling dan harga lantai untuk tambang yang tetap, terutamanya dengan perang harga yang berlaku.

Memiliki mekanisme harga bukan sahaja akan melindungi pemandu e-hailing tetapi memastikan pelanggan tidak ditipu.

Peraturan PSV juga akan mengimbangi ekosistem e-hailing yang tepu, katanya.

“Kalau tidak salah, kali terakhir saya periksa, kami mempunyai kira-kira 165,000 pemandu di negara ini berbanding teksi yang berjumlah kira-kira 50,000.

“Sebelum ini, terdapat banyak pemandu yang mengadu sukar untuk mendapatkan tempahan.”

Dengan jangkaan pemandu sambilan yang berhenti, mereka yang mempertimbangkan untuk menjadi pemandu e-hailing sepenuh masa akan mempunyai prospek lebih baik, katanya.

Mehda, yang mempunyai 2,000 ahli, dan organisasi e-hailing yang lain harus menyediakan dan mempersiapkan pemandu mereka dengan peraturan PSV baharu, kata Chong.

Persatuan itu bekerjasama dengan Institut Memandu Malayan Sdn Bhd, yang akan menawarkan pakej latihan PSV pada kadar RM89 berbanding dengan harga siling RM200 yang ditetapkan oleh kerajaan. – 11 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen