PENYIMPAN di Lembaga Tabung Haji (TH) kecewa dengan bayaran hibah paling rendah tetapi tidak sedia mengeluarkan simpanan mereka kerana sedar fungsi unik dana itu yang ditubuhkan untuk membantu bakal jemaah haji.
TH minggu lalu mengumumkan hibah hanya 1.25% bagi tahun kewangan 2018, jumlah paling rendah dalam sejarah sejak lebih 20 tahun, kerana beban kewangan yang sedang distruktur semula.
Seorang ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, pemberian hibah yang rendah tidak patut dijadikan alasan oleh pendeposit untuk tutup akaun.
Katanya, pendeposit perlu faham matlamat sebenar penubuhan Lembaga Tabung Haji.
“Tabung Haji diwujudkan untuk membantu umat Islam menunaikan haji, ia bukan tempat untuk pelaburan
“Jika orang ramai fikir Tabung Haji sebagai cara untuk dapat untung melalui dividen maka mereka boleh guna duit mereka labur ke tempat lain,” katanya, yang ditemui semasa berurusan di ibu pejabat TH di Kuala Lumpur untuk mengemas kini akaun.
Penyimpan di TH boleh mendaftar untuk menunaikan haji dengan simpanan minimum yang mesti kekal sebanyak RM1,300. Pendaftaran itu akan terbatal sekiranya simpanan kemudian kurang daripada jumlah minimum dan penyimpan terpaksa mendaftar semula.

TH baru-baru mendedahkan ada 3.2 juta orang kini dalam senarai menunggu menunaikan haji dan ada yang terpaksa menunggu sehingga 114 tahun untuk sampai giliran mereka.
Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan berkata beliau tidak akan tutup akaun di TH sebaliknya akan melabur di institusi kewangan lain, yang dipercayai boleh memberikan pulangan lebih tinggi.
“Saya tak tutup akaun cuma pindahkan duit untuk pelaburan lain,” katanya hanya mahu dikenali sebagai Khairul, 56, ketika ditemui The Malaysian Insight.
Khairul yang sudah menunaikan haji pada 2009 masih menyimpan di TH kerana mahu memartabatkan satu-satunya institusi kewangan yang menjaga jemaah haji biarpun pulangan simpanan mereka kali ini rendah.
Khairul mendedahkan ada rakan-rakannya sejak minggu lalu mahu menutup akaun TH tetapi beliau menasihatkan mereka supaya tidak berbuat demikian.
“Kalau tutup akaun susah nanti. Kalau saya yang dah lepas pergi haji tak apalah, tapi yang belum lagi, terpaksa daftar balik dan tunggu giliran semula untuk haji,” katanya, yang hampir 30 tahun menyimpan di akaun TH.
Jumaat lalu, TH mengisytiharkan pemberian hibah sebanyak 1.25%, yang menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa disebabkan masalah kewangan yang diwarisi daripada pentadbiran agensi itu sebelum ini.
Beliau juga menyalahkan kelemahan prestasi pelaburan selain masalah tatakelola serta salah laku pegawainya sewaktu pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Semasa mengumumkan hibah yang rendah, pengurusan TH menegaskan tidak akan berlaku keadaan pendeposit mengeluarkan simpanan beramai-ramai serentak.
Awal minggu ini, CEO TH Zukri Samat dalam satu kenyataan berkata operasi agensi itu berjalan seperti biasa dan tiada pengeluaran yang luar biasa.
Dalam pada itu, seorang lagi pesara kerajaan yang enggan namanya disiarkan berkata beliau tidak akan tutup akaun di TH walaupun dalam hatinya ada niat mahu melabur di tempat lain.
“Tabung Haji ini penting untuk orang Islam (pergi haji). Walaupun kami suami isteri sudah menunaikan haji tetapi kami tetap akan mengekalkan akaun Tabung Haji,“ kata pesara kerajaan dari Seremban itu.
Pesara dari Negeri Sembilan itu memberitahu beliau masih menyimpan di TH sebagai pelaburan untuk masa depan anak-anak.
Beliau berpendapat pendeposit yang sibuk hendak menutup akaun TH sebenarnya tidak fikir masak-masak.
“Dulu pun ada yang tutup akaun dan bawa keluar semua duit disebabkan isu skandal 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), tapi lepas itu mereka kena daftar balik dengan Tabung Haji,” katanya.
Beliau merujuk reaksi penyimpan TH ketika kontroversi agensi itu membeli tanah Tun Razak Exchange TRX daripada 1MDB pada 2015.
Isu pembelian tanah tersebut mencetuskan kemarahan umat Islam sehingga ada kempen menyeru pendeposit tutup akaun kerana tidak mahu dikaitkan dengan syarikat terlibat dengan skandal kewangan negara. – 11 April, 2019.
Komen