BEKAS Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meluahkan kesedihannya berhubung insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan menyifatkan ia sebagai tragedi yang berulang.
Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu merujuk kepada insiden kebakaran sekolah agama Pondok Pak Ya di Baling pada 1989 yang mengorbankan 27 nyawa.
Beliau yang hadir melawat mangsa di Hospital Kuala Lumpur kira- kira jam 7.30 petang tadi berkata, insiden yang berlaku di sekolah agama itu akibat tiada langkah keselamatan yang diambil oleh pemilik.
Berita berkaitan: Apa yang kita tahu tentang kebakaran tahfiz Kampung Datuk Keramat
“Saya harap selepas ini semua sekolah agama boleh tengok balik langkah keselamatan ini.
“Sebab itu kalau pembinaan asrama ia perlu mengikut peraturan agar pelajar boleh keluar sekiranya berlaku apa pun bencana,” katanya kepada media.
Dalam insiden kebakaran sekolah tahfiz yang terletak di Datuk Keramat mengorbankan 21 pelajar dan dua guru.
Sejak dari petang tadi, ramai pemimpin yang turun melawat waris mangsa di HKL, antaranya Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai, Menteri Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom.
Selain Dr Mahathir antara pemimpin pembangkang yang hadir menziarahi mangsa ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man. – 14 September, 2017.
Komen