India bersedia hadapi Pilihan Raya Umum ke-17


Pilihan raya kali ini turut menyaksikan sejumlah 900 juta pengundi yang layak, termasuk 84 juta pengundi kali pertama, akan menunaikan tanggungjawab memilih 543 ahli Parlimen. – Gambar AFP, 10 April, 2019.

INDIA yang dianggap sebagai negara demokrasi terbesar dunia akan mengadakan pilihan raya untuk memilih anggota Lok Sabha ke-17 (Dewan Rakyat) pada Khamis, menyaksikan saingan sengit Parti Bharitiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi yang membentuk Perikatan Demokratik Kebangsaan (NDA),  menentang gabungan Parti Perikatan Progresif Bersatu (UPA) diterajui Rahul Gandhi dari Parti Kongres.

Pilihan raya kali ini turut menyaksikan sejumlah 900 juta pengundi yang layak, termasuk 84 juta pengundi kali pertama, akan menunaikan tanggungjawab memilih 543 ahli Parlimen.

Dua ahli Parlimen tambahan, yang berasal dari masyarakat Anglo-India juga akan dicalonkan oleh presiden India berdasarkan perlembagaan.

Di Malaysia terdapat 222 kerusi Parlimen dengan jumlah penduduk penduduk kira-kira 32.3 juta orang.

Proses pengundian untuk pilihan raya umum India 2019 akan dijalankan dalam tujuh fasa, mengambil masa kira-kira enam minggu hingga 19 Mei. Pengiraan undi dan keputusan dijadual pada 23 Mei.

Lebih sejuta tempat mengundi disediakan di seluruh negara, di mana prosesnya merupakan satu tugas yang mencabar dan berdepan masalah logistik adalah menjadi satu kebiasaan.

Pengundi di Uttar Pradesh dilihat berperanan penting dalam menentukan parti mana yang akan berkuasa, memandangkan negeri itu mempunyai bilangan kerusi paling banyak (80 kerusi).

Negeri seperti Andhra Pradesh, Arunachal Pradesh, Odisha dan Sikkim akan mengadakan pilihan raya dewan undangn negeri serentak dengan pilihan raya parlimen.

Di India, pilihan raya diadakan setiap lima tahun kecuali Parlimen dibubarkan lebih awal. 

Penduduk India yang mencecah usia 18 tahun layak untuk mengundi berbeza dan di Malaysia pula mereka yang berumur 21 tahun ke atas.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia akan membentangkan rang undang-undang pada sidang Parlimen akan datang untuk meminda perlembagaan menurunkan had umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Dalam pilihan raya 2014, BJP menang besar dengan menguasai 282 kerusi, buat pertama kali menyaksikan sebuah parti politik memperoleh majoriti mutlak sejak 1984. Kongres hanya berjaya memperolehi 44 kerusi, pencapaian terburuk dalam sejarah.

Modi, 68, yang menang besar dalam pilihan raya 2019, bertanding untuk penggal kedua dengan mempertahankan kerusi di kawasan Varanasi.

Rahul, 48, pula bertanding di dua kawasan pilihan raya, iaitu di Amethi Uttar Pradesh dan Wayanad di Kerala selatan India.

Undang-undang India membenarkan seorang bertanding paling banyak dua kerusi, tetapi calon perlu mengosongkan satu daripadanya jika menang di kedua-dua kawasan.

Rahul adalah anak bekas perdana menteri Rajiv Gandhi dan cucu pemimpin wanita pertama India, Indira Gandhi. Moyangnya Jawaharlal Nehru merupakan perdana menteri pertama India. 

India, yang mengadakan pilihan raya parlimen pertamanya pada Oktober 1951-Februari 1952, selepas kemerdekaannya pada 1947, menyaksikan perdana menteri pertama pada 1977 dipilih bukan daripada Parti Kongres berikutan kekalahan parti terbabit pada tahun itu.

Sebaliknya, di Malaysia pada pilihan raya umum Mei 2018, parti pembangkang berjaya memecahkan dominasi parti pemerintah - yang berkuasa sejak negara merdeka pada 1957 - selepas 61 tahun.

Antara isu yang bakal menghangatkan kempen pilihan raya India termasuk pengangguran, keselamatan negara, harga hasil tanaman rendah, pengurusan ekonomi yang lemah, rasuah, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada Julai 2017 dan kontroversi pindaan rang undang-undang kewarganegaraan.

Isu keselamatan pula termasuk serangan keganasan Pulwama 2019 di Jammu dan Kashmir, yang mengorbankan 40 tentera India dan serangan udara India ke atas Pakistan.

Modi dan kerajaannya dituduh gagal memenuhi janji untuk menwujudkan jutaan peluang pekerjaan sementara pemimpin BJP menuduh Kongres, sebuah parti yang telah 133 tahun ditubuhkan, lemah dalam menghadapi isu keselamatan negara. Laporan media mengatakan kadar pengangguran negara mencapai paras tertinggi pada 2017.

Menurut penganalisis pendirian tegas Modi berhubung serangan keganasan di Pulwama, telah meningkatkan popularitinya di kalangan pengundi.

Sebaliknya, Kongres cuba membangkitkan isu kegagalan mewujudkan peluang pekerjaan dan menangani pengangguran, serta skim gaji pokok sebanyak 72,000 Rupee India setiap tahun kepada 50 juta keluarga miskin di India, negara kedua yang paling ramai penduduk dan ekonomi keenam terbesar dunia.

Manifesto Kongres bertemakan “Hum Nibhayenge” (kami akan tunaikan) manakala manifesto BJP “Sankalp Patra” (dokumen berwawasan), menggariskan 75 matlamat menjelang 2022.

Manifesto BJP menumpukan kepada kebajikan petani, keselamatan negara, keganasan dan keamanan sempadan, dan komitmen untuk membatalkan Perkara 370 yang memberikan status autonomi khusus kepada Jammu dan Kashmir.

Selain itu, BJP juga menjanjikan pinjaman tanpa faedah kepada petani sehingga 100,000 rupee India, dan skim pencen kepada petani dan peniaga kecil-kecilan.

Pada pelancaran manifesto itu baru-baru ini, Modi menegaskan bahawa nasionalisme dan tadbir urus yang baik menjadi inspirasi BJP.

Kebanyakan tinjauan pendapat mengundi BJP dan sekutunya akan memenangi lebih banyak kerusi berbanding pencabarnya Kongres dan sekutunya serta lain-lain parti, namun dengan majoriti yang kurang berbanding pilihan raya 2014. Parti yang bertanding perlu menang sekurang-kurangnya 272 kerusi untuk mengambil alih kuasa dan membentuk kerajaan.

Pilihan raya 2014 jumlah keluar mengundi melebihi 66% dan terdapat 464 parti yang bertanding, menyaksikan BJP memenangi 336 kerusi, Kongres dan sekutu mendapat 60 kerusi, dan yang lain dengan 147 kerusi.

Dalam pilihan raya itu, parti wilayah dan yang lebih kecil kebiasaanya berperanan penting dalam menentukan parti mana akan membentuk kerajaan seterusnya.

Seperti sudah menjadi kelaziman, pilihan raya India sinonim dengan kehadiran bintang filem dan atau personaliti industri hiburan. Di selatan Tamil Nadu, walaupun tidak bertanding, pelakon terkenal Kamal Haasan yang menubuhkan parti Makkal Needhi Maiyam (MNM) turut meletakkan calonnya.

Berbeza dengan aktor popular - Rajinikanth - yang secara rasmi menyertai arena politik pada Disember 2017, mengumumkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kali ini selain tidak menyokong mana-mana parti politik.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Mridul Kumar berkata bahawa ekspatriat India di Malaysia perlu mendaftar secara dalam talian sebelum mereka layak untuk mengundi.

Terdapat kira-kira 200,000 ekspatriat India berada di Malaysia. – Bernama, 10 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen