AMERIKA Syarikat (AS) pada Selasa mengancam Mesir mungkin akan dikenakan sekatan, susulan langkah negara itu membeli pesawat tempur Su-35 Rusia, lapor agensi berita Anadolu.
“Kami jelaskan di sini jika pembelian itu dilakukan,sekatan akan dikenakan. Kami telah menerima jaminan dan mereka memahaminya, saya sangat berharap mereka tidak akan meneruskan hasrat mereka,” kata Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo.
Akta Menangani Musuh Amerika Melalui Sekatan (CAATSA) yang diluluskan pada 2017 untuk mengenakan sekatan terhadap Iran, Korea Utara dan Rusia. Ia bertujuan menyekat pengaruh negara-negara terbabit ke seluruh dunia.
Dalam sepucuk surat yang dihantar Jawatankuasa Hubungan Luar Senat kepada Pompeo pada Isnin, mengutarakan beberapa isu, termasuk keputusan Kaherah untuk membeli 20 jet pejuang Su-35 Rusia.
Turut diutarakan “kebimbangan serius mengenai politik dan hak asasi manusia” yang semakin terhakis di Mesir dan puluhan rakyat Amerika yang dipenjara di negara itu dengan tidak adil.
Ujar Pompeo beliau telah bertemu dengan pemimpin Mesir Abdel Fattah al-Sisi, yang tiba di Washington pada Isnin, dan turut berbincang mengenai isu rakyat Amerika yang ditahan itu.
Sisi menerajui Mesir selepas Presiden Mohammad Morsi dipecat pada 2013.
Tahun lepas beliau dipilih semula dengan hampir 98 peratus undi meskipun pada awalnya hampir tidak terpilih, dengan kebanyakan pencabar utamanya dipenjara atau berundur selepas menerima tekanan. – Bernama, 10 April, 2019.
Komen