Pakatan tiada pilihan selain 'suntik' wang kepada Felda, kata PM


Sheridan Mahavera

Selepas pertukaran kerajaan Mei tahun lalu, pelbagai skandal melanda agensi pembangunan tanah persekutuan bersejarah, Felda termasuklah pembongkaran status kewangannya yang bermasalah sehingga menyukarkan kehidupan peneroka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2019.

KERAJAAN Pakatan Harapan perlu menyuntik wang ke dalam Felda kerana pentadbiran Barisan Nasional dahulu mencuri dananya, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri turut menafikan dakwaan wakil rakyat BN bahawa pentadbir terdahulu juga memberikan dana kepada Felda hasil keuntungan dibuat syarikat berkaitan.

“Jika benar dakwaan yang (kerajaan dahulu) membuat untung dan mereka beri balik wang (kepada Felda), maka kerajaan sekarang tak perlu suntik apa-apa,” katanya kepada wartawan selepas hadir perbahasan Kertas Putih Felda di Dewan Rakyat hari ini.

“Malangnya, peneroka Felda menderita kerana kerajaan lama mencuri duit mereka, jadi kami tiada pilihan selain menyelesaikan kesusahan dialami peneroka Felda,” kata Dr Mahathir lagi.

Kerajaan memperuntukkan RM6.23 bilion untuk membantu agensi pembangunan tanah persekutuan itu mengatasi masalah kewangannya, yang dakwa PH bermula pada zaman pentadbiran Najib Razak.

Disebabkan salah tadbir Najib, hutang Felda melonjak 1,100%. Pada 2007 hutangnya hanya RM1.2 bilion, meningkat kepada RM14.4 bilion pada 2017.

Kertas Putih Felda dibentangkan kerajaan hari ini menyatakan jumlah hutang tinggi itu wujud mesekipun aset Felda hanya meningkat sebanyak 107% dalam tempoh sama. Pada masa sama, keuntungannya turun mendadak sehingga 590%.

Hampir satu pertiga peruntukan kerajaan baharu diumumkan itu akan digunakan untuk membayar faedah pinjaman diambil peneroka untuk skim penanaman semula dan wang pendahuluan.

RM1 bilion lagi pula akan dibelanjakan dalam tempoh empat tahun untuk membentuk aktiviti pertanian baharu untuk 112,600 peneroka dan keluarga mereka, supaya tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada kelapa sawit sebagai sumber pendapatan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali yang turut hadir pada sidang media Dr Mahathir pula menafikan dakwaan urus niaga Felda dengan Eagle High tidak memberi kesan buruk kepada agensi itu.

Urus niaga itu dijalankan selepas Najib mengarahkan Felda membeli 37% pegangan dalam Eagle High dengan nilai yang 90% melebihi harga pasaran.

Najib mendakwa urus niaga itu tidak akan menjejaskan Felda kerana terdapat “Opsyen Jual” yang membolehkan Felda menjual balik pegangan Eagle High kepada pemilik asalnya, PT Rajawali Capital dengan harga sama berserta faedah 6%.

Azmin bagaimanapun, mendedahkan yang apabila Felda memberitahu Rajawali ia mahu mengaktifkan “Opsyen Jual”, permintaan itu ditolak Rajawali.

“Ini satu bukti bahawa mereka tidak ada kemampuan kewangan bagi membayar balik jumlah pelaburan yang telah dilaburkan Felda.”

Dalam ucapannya di Parlimen hari ini, Azmin berkata Rajawali hanya mempunyai aset ketara bersih hanyalah AS$7.2 juta, sedangkan kos membeli balik pegangan Eagle High berjumlah AS$5.5 juta. – 10 April, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen