Rujuk CT scan Subang Jaya untuk bincang kecederaan Adib, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir

Kenderaan EMRS yang terlibat dalam rusuhan kuil Seafield tahun lepas, inkues sedang mencari punca kecederaan Muhammad Adib Mohd Kasim yang menaiki kenderaan itu pada malam rusuhan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2019.

MAHKAMAH Koroner Shah Alam perlu merujuk kepada keputusan CT scan dari Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) jika hendak membincangkan kecederaan dialami Muhammad Adib Mohd Kassim, kata pesara pakar forensik Profesor Dr Shahrom Abd Wahid tengahari tadi.

Shahrom berkata CT scan daripada SJMC adalah mustahak kerana ia adalah penilaian perubatan pertama dibuat ke atas Adib selepas dikejarkan ke hospital.

“Rujuk kepada laporan CT scan SJMC berbanding CT scan Hospital Kuala Lumpur sebelum bedah siasat. Kerana laporan SJMC menunjukkan jenis kecederaan dialami Adib selepas rusuhan berlaku.

“Jika anda tengok keputusan bedah siasat HKL, sudah ada tanda rawatan. Ada campur tangan (rawatan) berlaku,” jelasnya ketika inkues berlangsung.

Shahrom berkata tidak ada manfaat untuk bercakap dengan terperinci bagaimana tulang rusuk Adib patah. Beliau sebaliknya menegaskan yang lebih mustahak adalah untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku pada malam kejadian.

“Untuk tanya saya tentang tulang rusuk depan dan belakang badannya (Adib) yang patah tidak relevan. Tak relevan untuk tahu lebih-lebih. Apa yang penting adalah kita perlu untuk tahu apa yang berlaku pada malam itu,” tambahnya.

Shahrom sekali lagi menegaskan yang tulang rusuk Adib patah kerana kuasa luar yang kuat, tengahari tadi.

“Dalam kes ini, saya fikir perlu ada kuasa setinggi 3,300 newton (untuk patahkan tulang rusuk Adib),” katanya.

Semalam, Shahrom mendedahkan yang Adib diserang lebih daripada seorang individu pada rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield tahun lepas.

Shahrom membuat kesimpulan itu berdasarkan lakonan semula situasi dengan anggota bomba, selepas diberikan laporan kejadian tersebut.

Beliau tidak memeriksa Adib, tetapi membuat keputusan selepas mengkaji video, gambar kecederaan serta meneliti kenyataan saksi.

Dr Shahrom yang menjalankan banyak bedah siasat berkaitan kematian luar jangka, berkata Adib patah tulang selepas penyerang menghentak pintu kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) ke atas badannya dengan kuasa yang sangat kuat.

Kesimpulan dibuatnya berbeza dengan kesimpulan diberikan pakar perubatan Dr Mohd Shah Mahmood dan Dr Ahmad Hafizam Hasmi dari Hospital Kuala Lumpur minggu lepas.

Kedua-dua doktor tersebut menyatakan kecederaan Adib tidak selari dengan jenis kecederaan dialami mangsa serangan.

Dr Shahrom berkata Adib tidak mungkin cedera parah jika tiada kuasa luar terlibat.

Adib adalah antara anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikerah ke kawasan kuil selepas menerima panggilan kecemasan pada 27 November 2018.

Beliau cedera parah dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember. Inkues dijalankan selepas siasatan polis tidak menemui kesimpulan memuaskan punca kecederaan sehingga membawa kematian Adib. – 10 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen