BEBERAPA syarikat multinasional di Pulau Pinang yang dilaporkan membuang pekerja dan menutup syarikat sepenuhnya atau separa sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu.
Pengarah agensi pelaburan Pulau Pinang, InvestPenang, Lee Kah Choon berkata tuduhan yang tersebar di media sosial adalah sama sekali tidak benar.
“InvestPenang telah menghubungi kilang-kilang yang tersenarai dan kebanyakan daripada mereka telah menafikan ketepatan berita tersebut.
“Kebanyakan kilang-kilang ini adalah kilang-kilang yang mempunyai senarai saham tempatan dan luar negara dan berita palsu sebegini boleh memberi kesan buruk kepada harga saham dan juga semangat pekerja kilang-kilang terbabit.
“Kilang-kilang yang terbabit ini sedang mendapatkan nasihat perundangan bagi langkah seterusnya,” kata Lee dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga berkata pelaburan dalam sektor pengilangan dan situasi pekerjaan di Pulau Pinang adalah stabil. Katanya, 98% daripada golongan pekerja di negeri itu mempunyai pekerjaan.
Lee mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong bahawa beberapa syarikat membuang pekerja dan menutup syarikat sepenuhnya atau separa. – 10 April, 2019.
Komen