PRESIDEN Venezuela Nicolas Maduro semalam berkata negaranya bersedia untuk menerima bantuan antarabangsa, selepas mengadakan pertemuan dengan ketua Palang Merah.
“Kami mengesahkan kesediaan untuk menentukan mekasnisme kerjasama bagi bantuan dan sokongan antarabangsa,” tulis Maduro di Twitter semalam.
Presiden itu menafikan krisis di Venezuela adalah krisis kemanusiaan dan menegaskan kerjasama antara Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) hendaklah menghormati “undang-undang Venezuela”.
Delegasi ICRC yang diketuai oleh presidennya, Peter Maurer berada di negara itu sejak Sabtu dan mengakhiri lawatan hari ini.
Jumaat lalu ICRC menerusi kenyataan menyatakan kebimbangan mengenai kesan serius dari keadaan semasa yang melanda rakyat Venezuela, terutamanya mereka yang tidak mendapat keperluan asas.
Venezuela dilanda krisis politik dan pemimpin pembangkang negara itu, Juan Guaido, pada Januari mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara.
Lebih 50 negara mengiktiraf Guaido, termasuk Amerika Syarikat yang mahu Maduro meletak jawatan. – AFP, 10 April, 2019.
Komen