PADA 13 Julai 1976, 33 ahli Parlimen dari Sarawak (22) dan Sabah (11) menyerahkan undi mereka untuk membentuk majoriti dua pertiga diperlukan Barisan Nasional untuk meminda Perlembagaan.
Pindaan itu berkaitan pengurangan kuasa negeri Borneo, menjadikannya sebagai negeri daripada 13 buah negeri dalam Persekutuan Malaysia, bukan lagi rakan setara.
Majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk pindaan Perlembagaan pada 1976 adalah 103 daripada 154 kerusi dalam Dewan Rakyat.
BN yang ketika itu masih parti Semenanjung Malaysia hanya ada 97 undi. 33 wakil rakyat Borneo melengkapkan kuota majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Tanpa 33 undi tersebut, cadangan pindaan Perlembagaan dibuat BN pasti gagal.
Alasan sering diguna politikus Borneo sekarang untuk mempertahankan tindakan 1976, adalah wakil rakyat dahulu tidak tahu kesan pindaan itu dan jadi mangsa permainan politik Malaya.
Tetapi, ia tidak lagi boleh digunakan, kerana wakil rakyat Borneo sekarang sudah arif benar selok belok Perlembagaan Persekutuan.
Malah, kemahiran mereka sangat tinggi, hingga mampu memaksa Dewan Rakyat untuk mengundi usul Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya merujuk pindaan Perkara 1 (2) kepada Jawatankuasa Pemilih selepas bacaan kali kedua.
Apabila mereka kalah dalam undi pungutan suara, mereka menggesa undi belah bahagi dilakukan supaya undi individu semua wakil rakyat direkod dalam Hansard Parlimen.
Wakil rakyat Borneo sekarang tidak lagi seperti dahulu, mereka mahir dengan rencam prosedur Parlimen dan kerumitan Perlembagaan.
Malangnya, apabila sampai giliran mereka untuk membetulkan kesilapan 1976 dengan mengundi menerima pindaan Perkara 1(2) dicadangkan Pakatan Harapan, semua wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak dan dua wakil Sabah memutuskan untuk tidak mengundi.
Mereka tahu imej politik mereka bakal tercalar jika menentang cadangan pindaan. Pada masa sama, mereka juga tidak mahu ia diluluskan.
Akhirnya, mereka bersekongkol untuk tidak mengundi, bersama-sama dengan wakil BN dan PAS yang hanya mahukan segala usaha PH sebagai kerajaan gagal.
Tindakan wakil GPS dan dua wakil Sabah yang tidak mengundi, secara langsung menghancurkan usaha meminda Perlembagaan.
PH mempunyai 139 wakil dalam Dewan Rakyat, majoriti dua pertiga pula adalah 148 undi.
Dengan bantuan beberapa wakil rakyat Bebas dari Sabah, PH meraih 138 undi walaupun lima wakil rakyatnya tidak hadir.
Selepas tidak mengundi di Dewan Rakyat, semua wakil rakyat Borneo ini akan pulang ke negeri mereka.
Mereka akan memberitahu rakyat bahawa mereka tidak menolak pindaan itu, malah cuba merujuknya kepada Jawatankuasa Pemilih.
Mereka akan beritahu warga Sabah dan Sarawak bahawa mereka tidak terpedaya dengan janji manis Malaya.
Tetapi, mereka tidak akan menceritakan bagaimana mereka memilih untuk berpeluk tubuh apabila status rakan setara Sabah dan Sarawak jadi taruhan.
Tiada siapa boleh menjamin yang PH akan melunaskan janji mereka untuk meminda perkara lain dalam Perlembagaan demi manfaat Sabah dan Sarawak.
Tiada siapa juga dapat meramal bilakah pindaan Perkara 1(2) akan dibentang lagi.
Tetapi, ramai antara kita akan sentiasa ingat, Sabah dan Sarawak pernah diberikan peluang menuntut kembali status setara mereka, tetapi sebahagian wakil dipilih rakyat hanya memeluk tubuh membiarkan usaha itu gagal.
Seperti 1976, wakil rakyat Borneo sendiri, sekali lagi berperanan menjadikan Sabah dan Sarawak hanyalah negeri bukan rakan setara. – 10 April, 2019.
*
Komen