MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa hari ini menyalahkan menteri JPM Barisan Nasional dan Lembaga Pengarah lama Tabung Haji kerana kerugian besar dialami tabung orang Islam itu.
Menjelaskan masalah TH yang sudah “lama berakar umbi” di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata pentadbiran BN sebelum ini memandang enteng amaran Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz pada Disember 2015.
Zeti dalam surat kepada Pengerusi TH Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, rizab tabung itu berada pada tahap negatif dan TH tidak akan mampu membayar hibah kepada 8.8 juta pendepositnya pada 2016 jika tiada tindakan diambil.
“Tetapi, kerajaan lama mengabaikan amaran ini dan terus memberikan hibah tinggi walaupun TH tak buat banyak untung dan akan menyebabkan risiko kewangan.
“Pembangkang (Pakatan Harapan ketika itu) beberapa kali membangkitkan isu ini pada 2016, tetapi kerajaan (BN), termasuklah menteri dan timbalan menteri ketika itu, menafikan dan mendakwa semuanya baik-baik di TH,” kata Mujahid.
Tambahnya, memburukkan keadaan, menteri dan timbalan menteri tidak bertindak mengatasi masalah itu untuk menyelamatkan TH, menyerahkan semuanya kepada pengurusan- yang di dalam lembaga pengarahnya ada ahli politik- untuk bertindak dan buat keputusan.
Kesannya, TH tidak cukup aset untuk menanggung liabiliti, sehingga mencatat kerugian mencecah RM10.2 bilion.
Setakat 31 Disember 2018, nilai pelaburan ditanggung tabung itu adalah RM11.9 bilion tetapi aset pelaburan hanya berjumlah RM9.7 bilion, malah akaun TH juga “dimanipulasi banyak kali” untuk terus membayar hibah yang tinggi, katanya lagi.
“Menteri bertanggungjawab meluluskan dan membenarkan TH memanipulasi harga saham yang jatuh tiga kali dalam tahun yang sama.
“Menurut standard laporan kewangan, syarikat perlu mengisytiharkan kerugian jika sahamnya jatuh 20%.
“Tetapi TH, dengan kebenaran menteri, menetapkan kejatuhan harga saham (tiga kali ganda) pada 70%, kemudian mengubahnya kepada 85% dan 90% selepas itu. Pemalsuan ini berlaku dengan kebenaran menteri dan kelulusan lembaga pengarah,” katanya.
Azeez yang merupakan ahli Parlimen Baling, berundur sebagai pengerusi TH selepas perubahan kerajaan tahun lepas.
Mujahid tidak menamakan menteri dan timbalan menteri, tetapi dapat difahami yang beliau merujuk kepada mereka yang memegang portfolio hal ehwal Islam sebelumnya. – 10 April, 2019.
Komen