Lebih banyak laporan polis akan dibuat tentang skandal Felda, kata Azmin


Looi Sue-Chern

Laporan audit Felda sedang dikaji dan mereka yang salah guna kuasa dan salah tadbir akan diheret ke mahkamah, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 April, 2019.

LEBIH banyak laporan polis akan dibuat berkaitan dengan salah guna kuasa dan salah tadbir dalam Felda, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

“Sudah tentu, akan ada lebih banyak laporan polis dibuat selepas Kertas Putih ini,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Azmin hari ini membentangkan Kertas Putih Felda di Dewan Rakyat, yang bermatlamat memberikan gambaran lengkap salah tadbir agensi pembangunan tanah persekutuan itu ketika pentadbiran Najib Razak menyebabkan ia terjerut dengan pelbagai masalah kewangan.

Tambahnya, laporan audit ke atas Felda yang baharu dibentangkan kepada Kabinet sedang dikaji.

Dan mereka yang melakukan jenayah dalam badan berkanun itu sehingga mengheretnya ke dalam masalah kewangan akan diheret ke muka pengadilan, katanya lagi.

“Kami sedang kaji laporan forensik audit. Banyak nama keluar. Kami akan buat laporan polis untuk bolehkan siasatan dan tindakan diambil.

“Ini adalah jenayah, bukan kecuaian biasa. Berbilion duit rakyat terlibat,” katanya.

Ditanya sekiranya ada nama yang terlepas daripada laporan audit itu, Azmin berkata kerajaan perlu bertindak berdasarkan fakta bukannya khabar angin.

Isnin lalu, Felda membuat laporan polis terhadap Najib kerana didakwa menipunya dalam “urus niaga berat sebelah” dua tahun lepas.

Pengarah Besar Felda Othman Omar yang membuat laporan itu kepada Unit Jenayah Komersil Polis Kuala Lumpur, mendakwa Najib yang merupakan bekas menteri kewangan mengarahkan Felda untuk melabur dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) di Indonesia.

Dilaporkan yang Felda membayar 344% daripada nilai sebenar sebanyak AS$114 juta (RM467 juta) untuk mendapatkan 34% pegangan dalam EHP, yang dimiliki taikun Indonesia yang juga sekutu rapat Najib, Peter Sondakh yang menerajui Kumpulan Rajawali. 

Pembelian itu dibuat Felda menerusi anak syarikat tugas khasnya, FIC Properties Sdn Bhd.

Dua firma audit terkenal, KPMG Malaysia dan BDO Malaysia, firma guaman Indonesia Hiswara Bunjamin serta syarikat pelaburan JP Morgan telah mengeluarkan amaran kepada Felda dan FIC yang pembelian itu berisiko dan menasihati ia tidak diteruskan. 

Azmin mengulas perkara itu, berkata Felda “telah dipaksa” membeli saham EHP, antara terma urus niaga termasuklah pilihan kepada Rajawali untuk membeli semula saham tersebut.

Tambahnya lagi, notis sudah dikeluarkan daripada Felda kepada EHP untuk penggunaan terma tersebut.

“Kami dimaklumkan yang mereka menentang (notis) itu dan ia sedang dalam timbang tara. Felda sedang menguruskannya.” – 10 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen