FELDA berhasrat mencairkan beberapa aset untuk meningkatkan aliran tunainya, mengukuhkan kedudukan kewangan dan mengurangkan pinjaman, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata entiti yang berdepan masalah kewangan itu kini sedang mengenal pasti aset untuk dijual.
“Kami dalam proses mengenal pastinya. Tetapi beberapa aset tidak strategik yang berpotensi untuk dicairkan sudah dikenal pasti.
“Proses pembidaan sedang berjalan. Kami mahu mendapatkan harga terbaik untuk mereka,” katanya tanpa mendedahkan aset itu.
Azmin bercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini selepas membentangkan kertas putih Felda yang bertujuan untuk mendapatkan gambaran lengkap mengenai salah urus semasa pentadbiran Barisan Nasional, yang membawa kepada banyak masalah kewangan.
Kertas ini juga menggariskan strategi Pakatan Harapan untuk memulihkan skim yang diwujudkan pada 1956 untuk mengeluarkan ribuan rakyat semasa era Merdeka daripada kemiskinan.
Azmin berkata Felda perlu memperbaiki aliran tunainya, mengukuhkan kewangan dan mengurangkan pinjaman.
“Sebagai contoh, pada tahun lepas Felda terpaksa membayar pinjaman sebanyak RM1.4 bilion kepada institusi kewangan. Tahun ini, jumlah yang perlu dibayar ialah RM2.5 juta.
“Hutang ini menghalang Felda daripada bergerak ke depan,” katanya.
Azmin berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kerajaan untuk membolehkan Felda berunding dengan institusi kewangan bagi penyusunan semula pinjaman itu.
Kira-kira 1 juta individu daripada 112,600 keluarga peneroka kini tinggal di 269 Felda di seluruh Malaysia. – 10 April, 2019.
Komen