PERDANA Menteri hari ini di Parlimen bangun memberikan celahan- tindakan yang jarang dilakukannya- ketika Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan membahaskan Kertas Putih Felda dan mempertahankan prestasi agensi itu ketika pentadbiran Najib Razak dan Barisan Nasional.
Dalam ucapannya, Ahmad mendakwa Felda Global Ventures Holdings (FGVH) meraih untung setiap tahun sehinggalah Pakatan Harapan menakluk Putrajaya, sepanjang berucap beliau enggan menerima sebarang celahan wakil rakyat lain.
Ahmad adalah wakil rakyat kedua membahaskan Kertas Putih Felda yang mendedahkan masalah kewangan agensi itu. Putrajaya mendakwa ia berpunca daripada salah tadbir pengurusan Najib.
Ketika Najib menjadi perdana menteri daripada 2009 hingga 2018, Ahmad adalah salah seorang timbalan menteri kabinetnya. Beliau antara pemimpin paling lantang mempertahankan keputusan Najib berkaitan Felda, termasuklah menyenaraikan cabang pelaburan syarikat itu dalam pasaran saham pada 2012.
FGV membuat untung antara RM500 juta hingga RM1.1 bilion setiap tahun sehingga 2018, kata Ahmad.
Bagaimanapun, selepas PH mengambil alih pentadbiran negara, untuk tahun kewangan 2018, FGV rugi RM1.04 bilion, katanya lagi.
Selepas mendengar Ahmad menceritakn kejayaan FGV, Dr Mahathir yang merupakan ahli Parlimen Langkawi, bangun meminta celahan.
“Dalam hidup saya saya hanya cium tangan arwah ayah dan ahli Parlimen Langkawi. Jadi ini merupadakan hari yang bersejarah kerana dia nak mencelah saya. Saya beri laluan untuk ahli Parlimen Langkawi mencelah,” kata Ahmad.
Selain Dr Mahathir, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir sidang Parlimen untuk membahaskan Kertas Putih Felda.
“Saya mahu mencelah kerana saya kagum dengan cerita-cerita dongeng dari ahli Parlimen Pontian. Saya nak tanya kenapa dia tak beritahu bossku dia yang lama? Supaya hari ini kita tak payah nak keluar white paper ini.
“(Masalah Felda) adalah bekas tinggalan penyangak-penyangak ini. Kita kena bersihkan bekas-bekas yyang ditinggalkan penyangak-penyangak ini. Tolong tunjuk kita mana pergi duit-duit itu semua,” katanya dan menerima tepukan meja gemuruh wakil rakyat PH yang lain.
Celahan Dr Mahathir itu bagaimanapun tidak dijawab Ahmad, yang kembali menegaskan keuntungan FGV adalah benar. – 10 April, 2019.
Komen