TIGA beradik berusia antara 10 hingga 13 tahun antara 23 mangsa yang terbunuh dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada awal pagi hari ini.
Mereka adalah Muhammad Syafiq Haikal Sulaiman 13 tahun, Muhammad Hafiz Iskandar Sulaiman (11) dan Muhammad Harris Ikhwan Sulaiman (10).
Tiga beradik itu, yang bapanya meninggal dunia sejak tahun 2006, tinggal bersama makcik mereka di Ampang sejak awal tahun ini.
“Haikal selalu menghubungi saya, tapi semalam dia hubungii ibu saya dan berkata dia mahu pergi tanpa memberitahu ke mana dia nak pergi,” kata sepupunya Mas Aliza Ali kepada wartawan ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Tiga beradik berkenaan, merupakan yang paling muda antara enam adik beradik, mula tinggal di pusat tahfiz terbabit di Datuk Keramat sejak awal tahun ini.
Ibu mereka Mashawani Mohamed Shahid berada di hospital untuk ujian DNA.
“Kali terakhir kami bertemu mereka adalah pada cuti Hari Raya Aidiladha. Salah seorang adik beradik itu, Hafiz ada bertanya sama ada dia akan ke syurga sekiranya meninggal dunia, abangnya berkata hanya mereka yang syahid akan ke syurga dan bukan mereka yang membunuh diri,” kata ibu saudara mereka Maszaitul Murni.
Tambahnya ketiga beradik terbabit ditukarkan daripada sekolah lama mereka di Bangi.
Putrajaya akan menubuhkan panel siasatan berhubung tragedi itu dan akan mengkaji semula standard dan garis panduan untuk sekolah seperti itu.
Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam sebelum ini mengesahkan jumlah kematian dalam tragedi itu adalah 23 orang. – 14 September, 2017.
Komen