RM6.23 bilion untuk selamatkan, susun semula Felda


Sheridan Mahavera

Putrajaya memberi bantuan kepada Felda dalam bentuk pinjaman, geran dan jaminan kerajaan untuk penyusunan semula pinjamannya dan hutang yang diambil oleh peneroka skim tanah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2019.

PUTRAJAYA memperuntukkan RM6.23 bilion untuk menyelamatkan Felda daripada masalah kewangan yang dicetuskan oleh pentadbiran Najib Razak, dedah kertas putih kerajaan mengenai Felda hari ini.

Jumlah peruntukan itu adalah dalam bentuk pinjaman, geran dan jaminan kerajaan untuk penyusunan semula pinjamannya dan hutang yang diambil oleh peneroka skim tanah itu.

Ia juga untuk mewujudkan aktiviti pertanian baru untuk anak peneroka, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang membentangkan kertas putih di Parlimen hari ini.

Beliau berkata hutang Felda meningkat sebanyak 1,100% daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017 berikutan salah urus pentadbiran Najib terhadap agensi dan skim tanah itu.

“Dalam tempoh yang sama, nilai aset Felda hanya meningkat sebanyak 107%.

 “Pada masa yang sama, keuntungannya menurun sebanyak 590%,” kata Azmin.

Najib - anak sulung pengasas Felda Abdul Razak Hussein - adalah perdana menteri dari tahun 2009 hingga 2018, ketika Barisan Nasional dipimpinya kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kepada Pakatan Harapan (PH).

Kertas putih Felda bertujuan untuk mendapatkan gambaran sebenar masalah kewangan dihadapi skim pembangunan tanah yang disebabkan oleh salah urus berdekad lamanya.

Kertas ini juga menggariskan strategi kerajaan PH dalam memulihkan Felda, yang diwujudkan pada 1956 untuk menaikkan taraf ribuan rakyat miskin semasa era Merdeka.

Kira-kira 1 juta individu daripada 112,600 keluarga setakat kini tinggal di 269 skim Felda di seluruh Malaysia. – 10 April, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen