Lebih banyak subsidi bersasar jika dasar RON95 berjaya, kata menteri


Looi Sue-Chern

Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 bilion untuk inisiatif subsidi petrol bersasar bagi meringankan beban rakyat dalam kumpulan B40. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2019.

JIKA subsidi bersasar untuk petrol RON 95 berjaya, kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperluaskannya kepada barangan pengguna bersubsidi lain, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata terdapat ketirisan yang membebankan kerajaan.

“Kami berhasrat untuk memperluaskan dasar subsidi bersasar kepada barang bersubsidi lain jika pelaksanaan petrol RON95 berhasil.

“Terdapat kebocoran sekarang yang ditanggung kerajaan persekutuan.

“Kami akan mensasarkan subsidi, menggunakan pengalaman yang kami peroleh daripada pelaksanaan subsidi bersasar terhadap petrol RON95,” katanya kepada Dewan Rakyat pada sesi menyoal pagi ini.

Saifuddin menerima soalan tambahan daripada S. Kesavan (Sungai Siput-PH), yang bertanya apakah dasar itu akan digunakan untuk barangan bersubsidi lain.

Kesavan sebelum ini bertanya menteri bagaimana subsidi petrol yang disasarkan akan dilaksanakan untuk membantu rakyat dalam kumpulan B40.

Subsidi bersasar untuk petrol RON95 diumumkan pada pembentangan Bajet 2019 dan akan dilaksanakan tahun ini.

Terdahulu dilaporkan pemilik kereta dan motosikal dengan enjin 1,500cc dan 125cc akan menerima subsidi pada kadar 30 sen seliter.

Subsidi untuk pemilik kereta terhad kepada 100 liter petrol setiap bulan, manakala pemilik motosikal akan mendapat 40 liter sebulan.

Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 bilion untuk inisiatif baru ini yang akan memberi manfaat kepada lebih 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

Saifuddin berkata Kementerian Kewangan sudah memuktamadkan vendor yang akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk membangunkan sistem pelaksaan subsidi bersasar.

Beliau berkata kerajaan akan menggunakan data Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk mengenal pasti penerima subsidi petrol yang disasarkan.

Kementerian itu, akan turut melibatkan pelbagai pihak, seperti syarikat petrol, pengendali stesen minyak, kumpulan pengguna dan juga ahli ekonomi untuk memastikan pelaksanaan program berjalan lancar.

Saifuddin juga berkata tiada pampasan dibayar kepada pengendali stesen minyak.

Bagi soalan diajukan ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob (Bera-BN) mengenai sama ada subsidi yang disasarkan akan dilaksanakan dengan menggunakan kad kupon atau kad petrol, menteri berkata ia sedang dikaji.

“Prinsipnya adalah untuk mengelakkan huru-hara pada hari pelaksanaan. Adakah kita mempunyai dua harga yang berbeza di pam atau hanya satu ketika kita mendepositkan subsidi ke dalam akaun penerima?

“Sesetengah penerima BSH seperti mereka yang berada di pedalaman tidak mempunyai akaun bank. Kami sudah meminta bank membantu mereka membuka akaun. Di bawah kaedah ini, subsidi boleh masuk ke akaun mereka dan kita boleh mendapat harga yang sama di pam.

“Pilihan lain ialah mengeluarkan kad petrol, yang boleh membantu kita merekodkan transaksi dan perbelanjaan pengguna. Kita boleh mengkaji data untuk dasar subsidi bagi barangan pengguna lain di masa hadapan,” kata Saifuddin. – 10 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen