APABILA semboyan reformasi bergema jam 3.00 pagi 10 Mei, Malaysia Baharu pun lahir. Iltizamnya, mewujudkan kebebasan bersuara. Pastinya, bukan suara monyet – tetapi suara pembela rakyat yang berani mencaknakan harapan dan impian masyarakat.
Sedihnya – semua itu tidak mencetuskan sebarang perubahan dalam atmosfera sastera Malaysia Baharu.
Bagi sasterawan yang pengecut, mereka melihat semua perubahan ini hanya sekadar mitos politik. Sastera tidak memerlukan apa-apa perubahan. Sastera bukan alat politik!
Dunia sastera pula, yang selama puluhan tahun ditunggang dan direjim budaya pak turut, tetap kekal tepu dan beku. Ruang reformasi idealisme dan pemikiran seni langsung tidak bersemarak.
Sasterawan nampaknya masih hidup dengan ketakutan lama yang jelas menebal. Atau, sasterawan memang baka yang suka berselesa dan bersantai karya di zon bertemakan idea yang basa-basi saja.
Soal rakyat dan negara pada era pasca reformasi 10 Mei, kekal diisi dengan suara perjuangan NGO reformasi. Aktivis yang kini beralih arah dan secara konsisten mengekalkan peranan mengkritik kegagalan kerajaan Malaysia Baharu.
Protes dan kritikan keras NGO terus dilaungkan terhadap kerajaan baharu yang dianggap kurang berkesan melaksanakan agenda sosial, ekonomi, perundangan dan hak asasi.
Manakala, dunia sastera – terutama anak muda – tetap saja kekal berwajah sida. Jelas terlihat sifat kecut jiwa dan tepu akalnya.
Sastera kekal sebagai entiti yang gagal berperanan sebagai suara akar umbi yang mencabar dan mengisi nilai pembaharuan. Inilah realiti yang menyedihkan.
Malah, penjawat awam muda yang dipertanggungjawabkan dalam perkhidmatan berkaitan sastera juga berwatak sida-sida. Kekal dengan sikap pengecut untuk melaksanakan pengisian reformasi. Malah, dilanda rasa takut dua kali ganda berbanding era lama!
Dalam sastera, kebebasan Malaysia Baharu dianggap hanya replika awam sahaja. Penjawat muda yang bacul dan penakut, sentiasa dibayangi alasan wujudnya terlalu banyak kekangan (atau memang benar wujud tekanan atasan?).
Skop fikiran mereka kekal benak dalam tepu untuk menafsir peranan kritis sastera pada era pengisian Malaysia Baharu.
Alasannya, takut melakukan pembaharuan. Bimbang dikenakan tindakan tata tertib. Justeru, terpaksa kekal dengan watak pak turut. Tidak perlu beriltizam apa-apa. Hanya patuh saja segala arahan.
Atau, ciptakan saja paranoia dalam diri sendiri: bahawa, “Kita akan dipecat sekiranya berani menyuarakan pembaharuan!
Malah, kelewehan semangat untuk menyatakan pandangan pembaharuan dalam melaksanakan tugas rasmi pun, dianggap satu beban berat dan menakutan!
Justeru, akhirnya – mereka hanya menjadi penjawat awam atau pemakan gaji yang dibayar upah hasil peluh bekerja. Walaupun dalam khidmatnya, akal dan jiwa jarang digunakan!
Dalam dunia sastera, saya juga menghabiskan masa berbual dengan editor-editor media. Juga, penerbit buku.
Hasrat utama, tentunya mencari dan bertanyakan: samada, sastera telah menemukan senarai penulis Malaysia Baharu yang sedang bangkit mengisi reformasi kebebasan bersuara melalui karya.
Saya bertanya: Siapakah nama-nama penulis muda yang menyerlah daya fikir dan fenomena kreatifnya?
Atau senarai nama penulis muda yang boleh dilihat sebagai sasterawan kritis dalam era hebat dan menjadi titik baharu kesusasteraan Malaysia.
Jawapannya zero.
Editor dan penerbit buku gagal menamakan siapa-siapa. Apa lagi menunjukkan karya-karya atau buku-buku baharu tanda reformasi kreatif sedang menunjukkan kebangkitan pengisiannya.
“Tak ada,” kata Nazmi Yaakob, Editor Sastera, Berita Harian.
“Takkan tak ada?” Tanya saya.
Kami kerap menghabiskan masa berbual di restoran berdekatan PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 28 Mac hingga 7 April lalu.
“Ini zaman penoreh makan getah sekerap dan pelajar universiti tak cukup makan tiga kali sehari?” Tanya saya.
“Mustahil penulis tak bersuara!”
Nazmi, penulis dan editor. Rakan bual yang sentiasa terbuka menerima apa saja kritikan. Nazmi memberikan respons sama seperti yang pernah dikatakan Pengarah Nusa Centre dan penerima SEA Write Award 2011, SM Zakir.
“Nampaknya, sastera masih beku di takuk lama.” Itu kesimpulan saya.
Kalau lapang, saya hadir dan melihat pelbagai acara sastera. Atau, bertanyakan perkembangannya. Tidak kiralah sesi dialog atau debat; forum atau ekspresiasi seni.
Sedihnya, tajuk dan tema pengisian kekal di takuk lama; kolot dan bacul benar bunyinya pengisiannya.
Saya berinteraksi dengan rakan-rakan muda penjawat awam. Berusaha mencari gali pembaharuan yang dirancang dalam era sastera yang perlu mengisi tanggung jawab Malaysia Baharu. Respons sangat sebal.
Saya simpulkan – mentaliti penjawat awam dalam pentadbiran sastera kekal di bahu pegawai-pegawai kanan yang penakut untuk bersuara. Sikap sida masih kekal sebagai wabak warisan penyakit lama.
Malah, makin parah. Reformasi di tangan mereka kini bertukar jadi fobia ketakutan berganda. Tiada agenda dan otaknya masih berlumpur dengan kemelut lama.
Kalau penjawat awam jelas beku dan tepu; serta bacul untuk melangkah dengan berani, ITBM yang juga sayap utama sastera, kini sedang bercelaru dengan ketidaktentuan masa depan.
Kesan khabar angin yang tidak berpenghujung mengenai masa depan syarikat milik kerajaan itu – jelas mengganggu fokus dan penyusunan agenda.
Apa yang ada dalam fikiran ITBM umpama daun terup yang sedang melayang jatuh. Di atas meja kerajaan, nasibnya ‘buka atau tutup’.
Dalam sastera nampaknya, Malaysia Baharu telah menjadikan penjawat awam serabut jiwa dan ‘tiada telur” (keberanian dan idea) dalam mengisi revolusi atau transformasi reformasi.
Harapan melihat pembaharuan pemikiran dan semaraknya hala tuju kesusasteraan nampaknya zero. Sastera dan seni kita tidak mungkin berubah sekiranya anak muda samada penulis dan pentadbirnya masih berjiwa pengecut!
“Karya sastera masih bahan yang sama,” kata Nazmi.
Malah, menurut Nazmi - yang banyak ditemui ialah karya-karya suara sasterawan dan penulis yang sibuk membodek kerajaan baharu.
SM Zakir pula nampak tidak menyimpan harapan besar – bahawa, sastera akan menemukan banyak pembaharuan. SM Zakir menerbitkan novel kritik politik berjudul Ikarus, sebulan sebelum PRU14, kelihatan turut membekam rasa hampa.
“Semuanya masih sama,” katanya.
PBAKL mungkin menerbitkan kurang 50 judul buku baharu dalam genre sastera. Satu hal yang sudah dijangka pada era kemelesetan jualan. Namun, judul-judul baharu pun masih sida-sida saja topik dan temanya.
Sukar mencari karya yang menampakkan sastera Malaysia sudah bangun daripada tidur lena sejak era eksperimentalis dekad lapan puluhan.
Judul-judul baharu yang terpapar masih seputar kisah pengalaman sepi dan ekspresi kejiwaan yang menerawang kosong di kalangan penulis muda.
Atau lambakan karya travelog atau siri kembara yang kini menjadi mitos kebesaran penulisnya. Isu-isu rakyat dan masyarakat masih tersisih. Apa lagi suara sastera yang besar dan relevan dengan kebangkitan meraikan munculnya zaman kebebasan.
Kita masih tetap penat dengan lambakan karya “jiwa tak sudah” penulis muda. Begitu, fikir saya.
Nampaknya, sastera memang mati. Atau milik sida-sida yang menulis dan ditadbir pula oleh penjawat dan eksekutif yang “telurnya sebiji saja”! – 10 April, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen