ROSMAH Mansor mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan rasuah tambahan bersabit dengan projek solar hibrid untuk sekolah di pedalaman Sarawak.
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu dituduh meminta RM5 juta daripada pengarah Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang pada 20 Disember 2016 sebagai ganjaran membantu syarikat itu mendapatkan kontrak projek.
Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Rosmah mengekalkan ikat jamin yang dibayar untuk pertuduhan sebelum ini.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar sementara Rosmah diwakil peguam Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader.
Rosmah tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pukul 8.50 pagi.
Pada 15 November tahun lalu, beliau mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas dua tuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta bersabit projek berkenaan.
Projek itu bertujuan memberi manfaat kepada 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.
Dusuki meminta ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.
“Ini adalah kes yang serius dan ia berlaku ketika beliau menjadi isteri perdana menteri (Najib Razak),” katanya.
Akberdin berhujah dalam undang-undang perbicaraan, wang ikat jamin adalah untuk memastikan kehadiran dan bukannya menghukum tertuduh.
“Beliau sudah didakwa dan merupakan suri rumah sepenuh masa. Wang ikat jamin sebanyak RM1 juta terlalu tinggi. Kami meminta untuk menggunakan wang ikat jamin daripada kes sebelumnya.”
Azura berkata wang ikat jamin itu akan dikekalkan dan kes disebut pada 10 Mei.
Tahun lepas, Rosmah meminta untuk dibicarakan bagi dua pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid.
Dalam pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta daripada Saidi kerana membantu meluluskan projek solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, bernilai RM1.25 bilion melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.
Bagi pertuduhan kedua, Rosmah dituduh menerima RM1.5 juta daripada Saidi pada 7 September 2017 kerana membantu syarikat memperoleh projek solar yang sama. – 10 April, 2019.
Komen