Pilihan raya Indonesia masih diselubungi politik wang


Calon presiden Indonesia Prabowo Subianto (tengah) berarak ketika berkempen di Palembang, semalam. Kira-kira 192 juta rakyat Indonesia akan mengundi, dengan 245,000 calon untuk mendapat tempat dari presiden hingga ke pihak berkuasa tempatan. – Gambar AFP, 10 April, 2019.

APABILA pihak berkuasa Indonesia menahan seorang ahli politik dengan 400,000 sampul surat berisi wang tunai, ia peringatan jelas asas tradisi pilihan raya masih hidup dan subur dalam negara dilingkari rasuah – iaitu membeli undi.

Bowo Sidik Pangarso ditahan bulan lalu atas dakwaan melakukan penyelewengan daripada sebuah syarikat baja, namun pihak berkuasa juga mendapati wakil rakyat itu memiliki berkotak-kotak dipenuhi sampul surat diisi dengan duit berjumlah kira-kira lapan bilion rupiah (RM2.31 juta). Semua sampul itu menggunakan wang nilai kecil.

Penguat kuasa rasuah mengesyaki wang tunai ditandakan “serangan awal pagi” itu komplot meluas di Indonesia, di mana penduduk menerima wang tunai pada awal pagi hari mengundi dalam usaha mempengaruhi pilihan calon.

Kira-kira 192 juta rakyat Indonesia dijangka mengundi minggu depan di negara ketiga terbesar dunia itu, memilih pembuat dasar tempatan sehinggalah presiden.

Indonesia dilingkari rasuah di semua peringkat masyarakat dan parlimennya secara meluas, dianggap satu daripada institusi paling teruk terjejas, walaupun dua dekad selepas kejatuhan pemimpin kuku besi Suharto, sebagai antara paling korup dalam sejarah.

Dengan rekod 245,000 calon bertanding, pilihan raya 17 April ini memberi cabaran besar kepada Suruhanjaya Penghapusan Rasuah yang sudah menyiasat puluhan kes membeli undi.

“Kes (Bowo) membuktikan politik dan rasuah masih berhubung rapat. Tidak cukup hanya memberi wang kepada 100 orang. Calon korup perlu memberi wang kepada sebanyak mungkin orang, berharap mereka akan dipilih,” kata seorang penyelidik di Indonesia Corruption Watch, Syafrina.

Seorang wakil rakyat di wilayah Bengkulu, Sumatera, Sapta Firdaus, 37, sedar realiti membeli undi ketika kali pertama bertanding pada 2014.

“Terlalu ramai orang meminta wang daripada saya. Mereka berkata, berapa banyak yang anda sedia bayar untuk kami mengundi anda?” katanya.

Namun ia bukan hanya orang asing ditemui dari pintu ke pintu, sesetengah ahli keluarga ahli politik sendiri meminta wang.

“Ia menjadi tabiat dalam masyarakat meminta ganjaran untuk segala-galanya,” katanya.

Malah, nisbah satu bagi setiap tiga rakyat Indonesia terdedah kepada membeli undi dalam pilihan raya 2014, mengikut sesetengah anggaran.

Ramai calon mempertahankan dan berkata pemberian itu sebagai “membeli kehadiran” bagi memastikan penyokong setia pergi mengundi, menurut penyelidikan dalam Journal of East Asian Studies pada 2017. – AFP, 10 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen