AMERIKA Syarikat (AS) memulangkan dua patung kuno ke Mexico semalam, yang dirampas dari rumah seorang ahli arkeologi amatur yang meninggal dunia pada 2015, dan mempunyai koleksi 42,000 artifak, dengan kebanyakannya diambil secara tidak sah.
Ukiran tanah liat berukuran kecil itu dari zaman sekitar 1,300 hingga 1,800 tahun lalu, kata ahli arkeologi pada satu majlis di Kedutaan AS di Mexico City, di mana Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memulangkan patung itu.
Artifak itu ditemui di Indiana, di rumah seorang pengumpul bernama Don Miller, kata pihak berkuasa.
Miller, meninggal dunia empat tahun lalu pada usia 91 tahun, mengelilingi dunia sepanjang hidupnya, menyertai ekspedisi arkeologi dan mengumpul artifak jarang ditemui, dan kemudian dipamerkan di ruang bawah rumahnya.
Tetapi di penghujung hidupnya, FBI – bertindak atas maklumat – menyerbu rumahnya dan merampas lebih 7,000 atifak itu, yang dipercayai diambil secara haram dari negara asal, kata ejen khas Edward Gallant.
Miller, yang mempunyai koleksi dari China, Kanada, Peru, Iraq dan negara lain, bekerjasama dengan FBI sebelum meninggal dunia, dan tidak pernah didakwa. – AFP, 10 April, 2019.
Komen