APABILA Putrajaya membentangkan kertas putih pemulihan Felda di Parlimen hari ini, golongan peneroka skim kemajuan tanah persekutuan itu mahu kerajaan sekarang berhenti menyalahkan Barisan Nasional (BN).
Mereka mahu Pakatan Harapan (PH) fokus mencari jalan menyelesaikan masalah yang ada pada Felda.
“Kita mahu kerajaan tutup cerita dulu dan mulakan era baru, buatlah apa sahaja yang boleh untuk bantu meningkatkan harga komoditi dan memulihkan pentadbiran lepas,” kata seorang anak peneroka generasi kedua yang hanya mahu dikenali sebagai Azizi, 50, kepada The Malaysian Insight.
Katanya, tindakan kerajaan terus menyalahkan kerajaan sebelum ini langsung tidak membantu peneroka yang sedia terbeban.
Azizi, dari Felda Gendangsa di Selangor berkata sehingga sekarang peneroka masih menanggung hutang sementara harga kelapa sawit terus menjunam.
“Setiap bulan kita kena bayar dalam RM380, itu belum lagi bayar levi RM24 dan kos angkut buah RM90 satu tan.
“Harga sawit jatuh. Pendapatan kami berkurangan tapi bayaran kepada mereka tetap sama,” katanya, sambil berharap kerajaan berusaha memulihkan harga buah kelapa sawit walaupun pada masa ini harga dunia merosot.
Seperti banyak peneroka Felda lain, Azizi membayar hutang kepada Felda Technoplant Sdn Bhd, anak syarikat Felda yang ditubuhkan pada 2005 untuk menguruskan ladang dan menanam semula bagi pihak peneroka.
Azizi berpendapat syarikat itu gagal menguruskan ladang seperti yang mereka janjikan dan sebab itulah sekarang mereka menanggung hutang besar.
Menurut Azizi, beliau memujuk ayahnya menarik diri daripada skim Technoplant tetapi tempoh lapan tahun di bawah pengurusan syarikat itu antara 2008 hingga 2016 menyebabkan mereka kini menanggung hutang RM67,000.
Apa yang lebih beliau kesalkan, pengurusan Technoplant tidak mengeluarkan penyata kewangan dan hanya memberikan anggaran kepada peneroka.
Beliau menegaskan banyak peneroka sesungguhnya tidak lagi mahu syarikat itu mengendalikan urusan ladang untuk mereka.

Balik pada cara lama
Seorang lagi anak peneroka generasi kedua, Roziat Mat Hayat, 50, mahu kertas putih yang dibentangkan hari menggariskan pelan untuk mengembalikan semula pengurusan ladang kepada cara lama, iaitu diurus oleh peneroka sepenuhnya.
Katanya, cara pengurusan Technoplant tidak betul kerana membayar pendapatan sama rata kepada peneroka, termasuk mereka yang tidak mempunyai hasil.
“Sebab itu selepas empat tahun saya nak keluar Technoplant, saya nak uruskan sendiri sebab cara pembayaran tidak adil sebelum ini
“Macam 20 tahun lepas kami buat sendiri, bila buat sendiri kita tahu berapa hasil kita,” kata Rozita, yang juga menjual goreng pisang di Felda Gedangsa.
Rozita menunggu pembentangan kertas putih kerajaan hari ini yang beliau harap akan menyelesaikan segera masalah Felda kerana banyak generasi pertama tidak faham masalah yang ada sekarang puncanya daripada pentadbiran lalu.
“Kami anak peneroka ada yang faham sebab apa Felda jadi begini. Dulu masa BN memang tak nampak sebab mereka beri duit.
“Tapi bila sudah tukar kerajaan, semuanya terbongkar masalah kewangan Felda. Cepatlah selesaikan masalah sebab peneroka ini cuma nak tahu duit mereka saja,” tambahnya.
Rozita juga meluahkan peneroka kecewa apabila kerajaan tidak melantik Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman untuk menerajui agensi itu.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mazlan antara suara lantang membela nasib peneroka Felda.
“Sebenarnya kita kecewa beliau tidak dilantik, kita nak seorang yang berjiwa Felda seperti Mazlan. Kalau orang luar, mereka tidak tahu apa masalah Felda,” katanya.
Peluang kedua
Peneroka awal Felda Gedangsa Idris Yusof, 68, berkata beliau masih ingat bagaimana berubahnya Felda sekarang berbanding semasa beliau dan rakan-rakannya mula datang membuka tanah di kawasan itu pada tahun 1980-an.
Katanya, pada masa dulu mereka pernah menjual hasil sehingga RM1,500 satu tan.
“Itu memang zaman orang Felda mewah sampai orang kata boleh bakar duit,” katanya.
Tetapi semua itu berubah apabila kerajaan BN sebelum ini menyenaraikan Felda Global Ventures (FGV) walaupun tidak dipersetujui oleh peneroka.
“Memang ramai tidak setuju dengan FGV tapi mereka alihkan dengan cara beri peneroka RM5,000, isteri RM5,000, anak RM5,000. Kemudian semua senyap dan terlaksanalah FGV,” sampuk Azizi, merujuk insentif yang diumumkan bekas perdana menteri Najib Razak pada 2012.
Tahun lalu, kumpulan pembela nasib peneroka Felda Majlis Permuafakatan NGO Felda mendesak kerajaan mengambil langkah segera menyelesaikan masalah peneroka dengan mengkaji semula kedudukan FGV.
Bagi, Muhamed Salleh, 56, kertas putih pemulihan Felda ini beliau harap akan memberi peluang kedua kepada peneroka, setidak-tidak untuk keluarganya sendiri. Isteri, anak peneroka, kini mewarisi ladang yang dibuka bapa mertuanya.
“Saya pernah terfikir juga untuk keluar daripada Felda ini cari kerja,” katanya, sambil mengingatkan keluarganya bergantung pendapatan daripada hasil buah kelapa sawit. – 10 April, 2019.
Komen