DI sebalik persepsi dapat bekerja dengan lebih bebas, pekerja dalam “ekonomi gig” – terma digunakan untuk kerja bebas, bimbang dengan kelangsungan dan masa depan mereka kerana pekerjaan itu tidak ada jaminan, tidak seperti jika bekerja sepenuh masa.
Lima daripada lapan pekerja gig yang ditemui The Malaysian Insight berkata mereka berharap satu hari nanti akan dapat pekerjaan tetap, sama ada memulakan perniagaan sendiri atau mendapat kerja tetap yang stabil dengan faedah daripada majikan.
Pekerja bebas semakin ramai, dengan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) berkata pekerjaan dalam “sektor tidak formal”, termasuk pekerja bebas, tumbuh pesat pada kadar 31% berbanding sektor pekerjaan formal.
Sementara itu, pakar ekonomi bimbang trend yang sedang pesat berkembang itu memberi risiko ekonomi dan sosial jangka panjang, susulan pekerja gig tidak ada perlindungan kerja, tiada perlindungan perubatan, tidak menerima manfaat daripada skim KWSP dan mengurangkan simpanan pada hari tua.
Secara teorinya pekerja gig mempunyai lebih banyak kebebasan memilih bila dan untuk siapa dia bekerja. Tetapi realitinya, mereka memberitahu The Malaysian Insight, ia tidak seindah yang disangka.
Contohnya, mereka terpaksa bekerja dalam tempoh jam yang lebih lama, atau pun jumlah jam sama seperti pekerja tetap. Mereka juga mendakwa jumlah bayaran diterima jika dibandingkan dengan kerja tetap, lebih rendah.
Ekonomi gig termasuk sektor tidak rasmi seperti pengendali makanan berskala kecil, pekerja pertanian dan pemandu teksi dan lori.
Pemandu untuk perkhidmatan ride-hailing, penunggang motosikal penghantar makanan dan juga pekerja bebas dalam industri kreatif seperti hiburan dan pengiklanan juga sebahagian daripada sektor itu.
Industri seperti perakaunan, IT dan media juga ada pekerja bebas.
Dalam laporan tahunan 2017, KWSP menganggarkan terdapat 13.7 juta pekerja dalam sektor tidak formal, berbanding 6.8 juta pekerja sektor formal yang menyumbang kepada dana itu.
Peningkatan pertumbuhan dalam pekerjaan seperti itu menyebabkan pembuat dasar, pakar ekonomi dan perniagaan memikirkan semula undang-undang buruh bagi mencegah eksploitasi dan memastikan mereka mendapat perlindungan sosial sewajarnya, seperti simpanan persaraan dan perlindungan kecederaan dan kecacatan. – 10 April, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen