BERSYUKUR dan sedih…Itulah perasaan yang terpaksa dihadapi seorang bapa apabila anak bongsunya terkorban dan pada masa sama anak keduanya terselamat dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Nasrun Mohd Yusof, 45 menghantar kedua anaknya Zunun Misti,15 dan Muhammad Nizammudin, 13 ke sekolah tahfiz tersebut berkata hanya mampu reda dengan tragedi tersebut.
“Yang pergi tetap pergi, macam mana pun kita tetap akan kembali kepada Allah SWT, biarlah kita tumpukan pada amal jariah,” katanya ketika ditemui wartawan.
Sepanjang masa itu, Nasrun dilihat cuba menyembunyikan kesedihan namun hampir gagal mengawalnya apabila ditanya tentang perubahan sikap anak bongsunya.
Katanya, dia menyedari perubahan ketara anak bongsunya sejak minggu lalu yang dilihat lebih banyak mendiamkan diri dan tidak seceria dulu.
“Saya dah nampak dia memang macam nak pergi, Nizamuddin senyap saja tak bercakap sangat.
“Malah kali terakhir saya jumpa dia pada Jumaat lalu, kami bawakan makanan dan dia makan tanpa kata apa- apa.”
Namun beliau yang tinggal di Taman Sri Rampai bersyukur anak keduanya terselamat dalam tragedi itu.
Bagaimanapun katanya, anak keduanya itu kini dalam keadaan trauma dan enggan bercakap.
Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terletak di Datuk Keramat mengorbankan 23 nyawa pelajar termasuk gurunya.
Sehingga kini kesemua waris mangsa masih berada di Institut Perubatan Forensik Negara bagi urusan pengecaman jenazah. – 14 September, 2017.
Komen