PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini menyifatkan undang-undang berita palsu yang dicadangkan oleh kerajaannya merupakan langkah ke depan untuk menangani berita palsu dalam talian.
Ini berbeza dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Dr Mahathir Mohamad yang berkata beliau bimbang kerajaan akan menyalahgunakan undang-undang tersebut.
Singapura yang mendapat kritikan meluas kerana mengehadkan kebebasan bersuara dan mengawal hak-hak politik, pada minggu lepas mendedahkan peraturan ketat untuk mengekang berita palsu.
Ini termasuklah kuasa menteri mengarahkan laman web seperti Facebook, Google dan Twitter meletakkan amaran bersebelahan posting yang diklasifikasikan pihak berkuasa sebagai palsu. Dalam kes-kes yang dianggap keterlaluan, posting akan dipadam, malah mengenakan hukuman denda dan penjara bagi kes yang serius.
Lee ketika mengadakan lawatan ke Malaysia hari ini berkata berita palsu adalah masalah serius dan beberapa negara seperti Perancis, Jerman dan Australia sedang menggubal undang-undang untuk membanterasnya.
“Undang-undang yang dicadangkan Singapura akan menjadi langkah ke hadapan yang penting,” katanya.
“Kami sudah membincangkan perkara ini selama dua tahun. Apa yang kami lakukan berkesan kepada Singapura, objektif kami ialah untuk terus melakukan yang berkesan untuk Singapura.”
Kumpulan hak asasi memberi amaran bahawa undang-undang yang dicadangkan Singapura itu akan menyekat kebebasan perbincangan dalam talian, selain terlalu samar dan mungkin akan digunakan terhadap pengkritik kerajaan.
Facebook dan gergasi teknologi lain turut melahirkan kebimbangan sama.
Namun, Dr Mahathir ketika bercakap dalam sidang media sama dengan Lee hari ini, berkata kerajaan Malaysia bercadang untuk memansuhkan undang-undang anti berita palsu.
“Apabila kita mempunyai undang-undang yang menghalang orang daripada menyiarkan pandangan mereka, kita takut kerajaan sendiri boleh menyalahgunakannya,” katanya kepada pemberita di Putrajaya. – AFP, 9 April, 2019.
Komen