
INILAH peluang terbaik bagi Sabah dan Sarawak untuk memperbetulkan kesilapan pada 1976, kata Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee pada perbahasan pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat, hari ini.
Kiandee merujuk kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1976 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang menurunkan status Sabah dan Sarawak daripada ‘negara’ kepada ‘negeri’.
“Ini berkenaan hak asas kita dan kita perlu menyokong pindaan ini. Selepas itu, kita perlu memastikan kerajaan menunaikan janji dan membentuk jawatankuasa bagi meneliti Perkara 112 (c) (d) dan 160,” tambah bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu.
Perkara 112 (c) dan (d) adalah berkenaan geran khas Sabah dan Sarawak manakala Perkara 160 menyentuh mengenai definisi “persekutuan”.
Mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi setara dengan Malaya ketika Persekutuan Malaysia dibentuk.
Ini merupakan kali pertama kerajaan Malaysia cuba meminda Perlembagaan tanpa majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sejak 2008.
Kiandee, kini ahli Bersatu, berkata walaupun kerajaan Persekutuan sebelum ini menubuhkan jawatankuasa mengenai pengembalian status Sabah dan Sarawak, namun tiada tindakan seterusnya.
“Menteri-menteri sebelum ini sangat berhati-hati dan mahu masukkan semua pindaan. Ini peluang terbaik untuk kembalikan kedudukan kita.
“Oleh itu, saya menggesa semua ahli Parlimen Sabah dan Sarawak beri sokongan. Bagi PAS, walaupun ini tak menjejaskan anda tetapi boleh juga membantu kami.”
Perlembagaan Persekutuan kali terakhir dipinda pada 2007 oleh kerajaan Barisan Nasional untuk melanjutkan had umur persaraan pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya kepada 66 tahun.
Ketika ini, Pakatan Harapan (PH) mempunyai 129 ahli Parlimen – PKR (50), DAP (42), Bersatu (26) dan Amanah (11).
Dengan bantuan parti lain, Warisan (9) dan Upko (1), gabungan kerajaan mempunyai 139 ahli Parlimen namun masih memerlukan sembilan orang daripada 148 ahli Parlimen yang diperlukan untuk meminda perlembagaan.
PH memerlukan sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak yang mempunyai 18 ahli Parlimen. – 9 April, 2019.
Komen