POLIS Turki hari ini menahan lebih 100 orang di seluruh negara yang disyaki terlibat dengan kumpulan yang merancang rampasan kuasa 2016, lapor media tempatan.
Sejak rampasan kuasa itu gagal, berpuluh ribu orang ditahan kerana didakwa ada hubungan dengan pendakwah Islam Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen. Manakala 140,000 penjawat awam dipecat atau digantung tugas.
Sebanyak 400 waran tangkapan dikeluarkan oleh pendakwa raya di beberapa bandar termasuk ibu kota, Ankara dan bandar Izmir. Seramai 127 suspek ditangkap, menurut agensi berita Anadolu.
Serbuan bagi menangkap suspek masih diteruskan.
Agensi itu juga melaporkan, antara yang ditangkap termasuklah bekas pegawai polis yang dituduh menggunakan aplikasi pesanan ByLock yang menurut pihak berkuasa disyaki digunakan oleh penyokong Gulen untuk menyelaras cubaan rampasan kuasa.
Presiden Recep Tayyip Erdogan menuduh Gulen mengarahkan cubaan rampasan kuasa tetapi ia dinafikan pendakwah yang berpangkalan di Pennsylvania itu. – AFP, 9 April, 2019.
Komen