AS adalah pemimpin keganasan dunia, kata presiden Iran 


Presiden Iran Hassan Rouhani ketika berucap pada majlis sambutan hari tenaga nuklear Iran di Tehran. – Gambar EPA, 9 April, 2019

PRESIDEN Iran Hassan Rouhani berkata Amerika Syarikat merupakan “pemimpin keganasan dunia” yang sebenar selepas Washington menyenaraikan Tentera Revolusi Iran sebagai “organisasi pengganas asing”.

“Siapa kamu untuk melabel institusi revolusi sebagai pengganas?” soal Hassan dalam ucapan yang disiarkan secara langsung. 

Berucap pada majlis sempena hari teknologi nuklear Iran di Tehran, Hassan mempertahankan tentera revolusi sebagai pasukan menentang keganasan sejak penubuhannya pada 1979.

Sebaliknya, presiden negara repubik itu menuduh tentera AS yang sering terbabit dengan keganasan sama ada secara langsung atau tidak langsung. 

“Kamu mahu menggunakan kumpulan pengganas sebagai alat menentang negara di rantau ini…kamu adalah pemimpin keganasan dunia. 

“Siapa yang mencipta propaganda dan menggalakkan keganasan dalam dunia hari ini? Siapa yang mahu pergunakan IS sebagai alat?” soal Hassan.

“Sehingga kini Amerika menyembunyikan ketua IS, dan tidak bersedia untuk memaklumkan kepada kerajaan di rantau ini di mana pemimpin IS bersembunyi.”

Iran terus menentang langkah AS dengan menyatakan tentera AS merupakan “pengganas”. – AFP, 9 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen