Buat pindaan asas dahulu, kata Anwar


Chan Kok Leong

Status Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dikembalikan dahulu sebelum beralih kepada isu perkongsian kuasa lain, kata Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2019.

KEMBALIKAN dahulu status Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum beralih kepada isu perkongsian kuasa lain, kata Anwar Ibrahim.

“Ini pindaan paling asas untuk kembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak. Mengapa kita perlu kemukakan ini (pindaan rang undang-undang) kepada jawatankuasa pemilih?,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Presiden PKR itu berkata, Putrajaya sudah berjanji untuk meneruskan pindaan ke atas undang-undang lain bagi Sabah dan Sarawak, dan ia boleh dibincangkan dalam jawatankuasa pemilih.

“Ada yang mempersoalkan sama ada ini satu pindaan yang baik tetapi sekurang-kurangnya Pakatan Harapan sedang melaksanakan apa yang dijanjikan dalam manifestonya. Ini sesuatu yang tak pernah Barisan Nasional (BN) buat,” kata Anwar ketika membahaskan pindaan itu, hari ini.

Terdahulu, Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan-BN) berkata pengembalian status Sabah dan Sarawak termasuk dalam manisfesto BN sebelum pilihan raya umum 2018.

Bung juga menggesa pindaan dirujuk kepada jawatankuasa pemilih.

Bekas menteri BN, Nancy Shukri (Batang Sadong-GPS) pula berkata walaupun parti gabungannya secara asas bersetuju dengan pindaan itu, mereka mahu ia ditangguhkan dahulu.

“Kenapa kita tak tunggu jawatankuasa khas MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) habiskan perbincangan dulu?” soalnya.

Anwar kemudian menjawab: “Baik, kalau anda setuju maka mari kita luluskan pindaan dahulu. Ini pindaan paling asas untuk membezakan kedudukan Sabah dan Sarawak.

“Perkara mengenai perkongsian kuasa lain atau peruntukan boleh bincang dalam jawatankuasa Kabinet,” kata Anwar. – 9 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen