Putrajaya belum ada keputusan sistem e-undi


Looi Sue-Chern

Kelebihan dan kesesuaian sistem e-undi ini masih dalam kajian, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2019.

BELUM ada sebarang keputusan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pengenalan undi elektronik (e-undi) di Malaysia, kata Mohamed Hanipa Maidin di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata e-undi memerlukan kajian terperinci membabitkan kos. Di samping itu, pihak berkepentingan juga mempunyai pandangan yang pelbagai mengenai sistem tersebut.

“Kelebihan dan kesesuaian sistem e-undi ini masih dalam kajian.

“Kalau sesuai, cadangan akan dikemuka kepada kerajaan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.

Timbalan menteri hal ehwal undang-undang itu menjawab soalan dari Mahdzir Khalid (Padang Terap-BN) yang meminta penjelasan mengenai kesediaan kerajaan menggunakan sistem e-undi dan apakah ia selamat dari dimanipulasi.

Mahdzir yang merupakan bekas menteri pendidikan, berkata perkara itu dibangkitkan kerana SPR pada awal tahun ini mengeluarkan kenyataan mengenai sistem e-undi.

“Kalau kerajaan belum bersedia lagi, SPR tak perlulah tergesa-gesa keluar kenyataan. Jawapan YB (Hanipa) juga menunjukkan yang kita belum bersedia.

“Kita semua tahu apabila ada satu parti guna e-undi, ada kekeliruan dan masalah. Kita pun tengok di YouTube, Kumpulan A dan Kumpulan B bergaduh,” kata ahli Parlimen dari Umno itu tanpa menamakan sesiapa.

Namun, difahamkan Mahdzir merujuk kepada PKR.

PKR adalah parti pertama yang mengguna pakai sistem e-undi dalam pemilihan partinya tahun lepas. Bagaimanapun, banyak masalah timbul semasa pemilihan sehingga mencetus pertikaian dan pergaduhan di sesetengah cabang. Malah, PKR terpaksa mengadakan semula pemilihan di beberapa negeri. – 9 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen