PUTRAJAYA akan membuat lebih banyak perubahan undang-undang bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam persekutuan sekiranya Perkara 1(2) Perlembagaan berjaya dipinda, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Ini merupakan langkah pertama dalam merealisasikan hasrat semua rakyat Malaysia,” kata Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul pindaan Perkara 1(2) di Dewan Rakyat hari ini.
“Pindaan ini tidak akan menjejaskan rundingan yang sedang dijalankan antara kerajaan persekutuan dengan Sabah dan Sarawak dalam jawatankuasa khas.
“Dan Malaysia akan menjadi satu entiti dan tidak akan memisahkan Malaysia Timur dan Barat,” kata ahli Parlimen Langkawi itu.
Kerajaan persekutuan cuba meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak.
Ini merupakan kali pertama kerajaan Malaysia cuba meminda perlembagaan tanpa majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sejak 2008.
Kali terakhir ia dipinda adalah pada 2007 oleh kerajaan Barisan Nasional untuk melanjutkan had umur persaraan pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya kepada 66 tahun.
Ketika ini, Pakatan mempunyai 129 ahli Parlimen – PKR (50), DAP (42), Bersatu (26) dan Amanah (11). Dengan bantuan parti lain, Warisan (9) dan Upko (1), gabungan kerajaan mempunyai 139 ahli Parlimen namun masih memerlukan sembilan orang daripada 148 ahli Parlimen yang diperlukan untuk meminda perlembagaan.
Ia memerlukan bantuan Gabungan Parti Sarawak yang mempunyai 18 ahli Parlimen.
Dewan dijangka akan membuat undian bagi perubahan itu petang ini.
Dalam menggesa ahli Parlimen menyokong usul itu, Dr Mahathir berkata ini merupakan masa yang tepat untuk kerajaan mengambil “langkah ke hadapan bagi merealisasikan aspirasi Sabah dan Sarawak sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963”.
“Dalam perkara ini, jawatankuasa khas kabinet, yang termasuk ketua menteri Sabah dan Sarawak, telah bersetuju untuk meminda Perkara 1(2).”
Beliau berkata, motif kerajaan untuk meminda perlembagaan adalah mulia dan beliau berharap ia akan memberi laluan kepada lebih banyak pembaharuan bagi merealisasikan aspirasi rakyat Malaysia. – 9 April, 2019
Komen