Tentera kerajaan Libya kuasai semula 2 pangkalan tentera 


Pasukan GNA turut menawan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli. – Gambar EPA, 9 April, 2019 

PASUKAN tentera yang setia dengan Kerajaan Perpaduan Kebangsaan Negara (GNA) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menawan semula dua pangkalan tentera berdekatan dengan ibu negara, lapor agensi berita Anadolu memetik akaun media sosial GNA.

Operasi dikenali “Volcano of Anger” itu sebagai tindak balas ke atas serangan oleh pasukan yang diketuai Jeneral Khalifa Haftar, selain untuk menawan semula pangkalan tentera Yarmouk dan as-Sawareh.

Kira-kira 23 anggota Haftar ditangkap semasa operasi itu.

Menurut sumber ketenteraan tempatan, pasukan GNA turut menawan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli.

Sementara itu, perkhidmatan penerbangan di lapangan terbang Mitiga di ibu negara kembali beroperasi seperti biasa, selepas pada awal Isnin lalu diserang oleh pesawat tempur gabungan  kerajaan timur Libya dan pasukan yang setia kepada Haftar.

Khamis lalu, Haftar melancarkan operasi ketenteraan bertujuan menawan Tripoli.

Libya berada dalam kancah kekacauan sejak 2011, apabila pemberontakan yang disokong oleh NATO menyebabkan kematian pemimpin Muammar Gaddafi, selepas berkuasa selama empat dekad. – Bernama, 9 April, 2019 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen