ANGGOTA bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dipukul oleh lebih seorang semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman tahun lalu, kata seorang bekas pakar forensik kepada Mahkamah Koroner hari ini.
Prof Dr Shahrom Abdul Wahid, yang pernah berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), membuat rumusan itu daripada lakon semula kejadian bersama anggota bomba, yang dibuat berdasarkan laporan kejadian.
Shahrom tidak memeriksa tubuh Adib namun membuat rumusan itu selepas meneliti rakaman video, foto kecederaan serta menyemak keterangan saksi yang terlibat.
Shahrom yang berpengalaman membedah siasat mayat berpendapat Adib cedera patah tulang rusuk selepas dihentak oleh penyerang dengan pintu kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kuat.
“Seluruh kejadian berlaku mungkin dalam masa antara lima hingga lapan saat.
“Badan Adib dihentak dengan pintu depan EMRS oleh lebih daripada seorang. Ada kecederaan pada dada kanan, pinggang belakang dan tulang rusuknya patah,” kata Shahrom dalam inkues menentukan kematian anggota bomba itu.
Bekas pakar forensik itu juga berkata Adib ditarik keluar dari kenderaannya sebelum diserang.
“Berdasarkan kecederaannya, saya syak beliau ditarik keluar dari tempat duduk hadapan. Semasa ditarik keluar, lebih dua orang menendang pintu di sebelah kirinya menyebabkan kecederaan pada bahagian badan yang saya sebut tadi.
“Tendangan itu bukan sekali. Mungkin lebih sekali. Kecederaan seperti yang dialami oleh Adib disebabkan oleh hentakan dari luar,” kata Shahrom. – 9 April, 2019
MENYUSUL
Komen