Sasaran sejuta peluang pekerjaan mampu dicapai dalam 5 tahun, kata menteri 


Looi Sue-Chern

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata, terdapat peningkatan lebih 100,000 pekerja dari Jun hingga Disember.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2019

KERAJAAN mampu menunaikan janji pilihan raya untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran. 

“Sasaran untuk satu juta peluang pekerjaan tiada masalah,” katanya kepada Dewan Rakyat pada sesi soal jawab hari ini. 

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan rayanya berjanji untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun. 

Kulasegaran berkata, terdapat 130,000 peluang pekerjaan dari Jun hingga Disember. 

“Pada Jun, kita mempunyai 14.8 juta pekerja. Pada Disember, jumlah itu meningkat kepada 14.9 juta. 

“Peningkatan lebih 100,000. Ini bermakna setiap bulan ramai rakyat yang mendapat pekerjaan.”

Katanya, kementeriannya juga cuba untuk mewujudkan 250,000 kerja “hijau” dalam tempoh lima tahun iaitu peluang kepada golongan belia. 

“Ini merupakan inisiatif baharu oleh kerajaan, yang mana lebih dipercayai rakyat, sejak perubahan pentadbiran.”

Shahidan Kassim (BN-Arau), yang bertanya kepada menteri mengenai usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran, turut mempersoalkan kenyataan Kulasegaran.

“Betul ke ramai yang percaya dengan kerajaan?” soal beliau yang juga bekas menteri Barisan Nasional. 

“Sudah tentu, jika kamu lihat jumlah itu. Tiada penurunan dalam peluang pekerjaan,” kata Kulasegaran. 

“Sasaran satu juta peluag pekerjaan akan dicapai. Percayalah.” – 9 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen