SEORANG pegawai tentera laut paling kanan New Zealand dibicarakan kerana meletakkan kamera tersembunyi dalam tandas uniseks di pejabat kedutaan negara itu di Washington DC, Amerika Syarikat (AS).
Laksamana Pertama Alfred Keating didakwa kerana cuba membuat “rakaman intim” dan sedang dibicarakan di Auckland, lapor media tempatan.
Menurut dokumen mahkamah, Keating didakwa memasang kamera kecil dalam sebuah tandas uniseks di Tingkat 3 Kedutaan New Zealand di ibu kota AS pada 2017.
“Ia sengaja dipasang di satu unit salur pemanas dalam tandas dan hanya ditemui apabila panel jatuh ke lantai.
“Satu lapisan tebal habuk pada kamera menunjukkan peranti itu sudah diletakkan selama beberapa bulan,” katanya. Kedutaan ketika itu mempunyai kira-kira 60 kakitangan.
Kad media kamera terbabit mengesan DNA Keating dan komputernya mengandungi pemacu dan perisian berkaitan.
Sebelum perbicaraan, Keating cuba menghalang orang awam daripada mengetahui identitinya, mendakwa, ia mungkin menyukarkannya mendapat pekerjaan pada masa akan datang selain menjejaskan imej tentera.
Hakim bagaimanapun menolak permohonan itu. Keating mengaku tidak bersalah. – AFP, 9 April, 2019.
Komen