RANG undang-undang bagi menangguhkan Brexit dan mengelak langkah meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) tanpa sebarang perjanjian diluluskan pada lewat Isnin setelah melepasi semua peringkat di kedua-dua dewan dalam Parlimen Britain dan mendapat Perkenan Diraja, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Undang-undang baharu itu mengkehendaki Perdana Menteri Britain Theresa May meminta EU menangguhkan Brexit bagi mengelak langkah keluar tanpa perjanjian pada 12 April - tarikh akhir yang ditetapkan oleh kesatuan itu jika penggubal undang-undang tidak meluluskan sebarang perjanjian keluar.
Cadangan rentas parti itu, yang dirujuk sebagai Rang Undang-Undang Cooper kerana ia dikemukakan anggota Parlimen Parti Buruh, Yvette Cooper, minggu lepas, diberi laluan pantas oleh penggubal undang-undang.
Ia diluluskan oleh Dewan Pertuanan malam tadi selepas dua pindaan dan menerima Perkenan Diraja - peringkat terakhir dalam proses penggubalan undang-undang.
“Rang undang-undang rentas parti kita kini mendapat Perkenan Diraja,” kata Cooper menerusi akaun Twitter.
“Parlimen mengundi malam tadi bagi menentang kerosakan serta kekecohan yang bakal diakibatkan oleh langkah keluar tanpa perjanjian dari segi pekerjaan, pembuatan, bekalan perubatan, pengawasan dan keselamatan.”
Menurut undang-undang baharu itu, anggota Parlimen akan dapat memaklumkan May berapa lama tempoh penangguhan itu, namun mereka tidak boleh mempertikai tarikh baharu Brexit yang ditetapkan oleh EU.
Sementara itu, rundingan antara kerajaan May dan Parti Buruh mengenai strategi baharu Brexit diteruskan pada Isnin dan akan disambung pada Selasa.
May akan bertemu Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Selasa iaitu sehari sebelum berlepas ke Brussels bagi menghadiri sidang kemuncak tergempar Brexit dengan pemimpin EU pada Rabu. – Bernama, 9 April, 2019.
Komen