RANCANGAN Putrajaya untuk menyelamatkan Felda yang pernah membantu ribuan rakyat keluar daripada kemiskinan tetapi kini bergelut untuk memberikan peneroka pendapatan memuaskan, akan dibentangkan esok.
Ia dijangka dibentangkan di Parlimen dalam bentuk kertas putih yang memperincikan kesilapan agensi berusia 63 tahun itu dan unit perniagaannya.
Felda, atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, adalah gagasan perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein untuk mengeluarkan ribuan rakyat tidak mempunyai tanah pada era Merdeka daripada kemiskinan.
Tetapi selepas beberapa dekad salah urus menyebabkan Felda bergelut dengan bebanan hutang sehingga tidak dapat membayar para peneroka tepat pada waktunya bagi hasil tanaman mereka.
Terdapat kira-kira 112,000 peneroka generasi pertama dalam kira-kira 269 skim di seluruh Semenanjung.
Dianggarkan bersama-sama anak dan cucu peneroka asal, kini terdapat kira-kira sejuta orang dalam skim ini dan bergantung kepada pendapatan Felda daripada minyak kelapa sawit dan getah.
Rancangan Pakatan Harapan (PH) untuk memulihkan Felda adalah perlu untuk memastikan peneroka dan keluarga berterusan memperoleh pendapatan memuaskan daripada skim ini ketika zaman mencabar bagi industri minyak sawit negara.
Kertas putih itu akan mendedahkan strategi untuk menjadikan Felda berdaya maju dalam menghadapi persaingan yang semakin hebat daripada minyak sawit Indonesia dan potensi kehilangan pasaran eksport Kesatuan Eropah.
Berikut adalah penjelasan singkat mengenai Felda dan masalahnya.
Bagaimana keadaan menjadi begitu teruk?
Setiap peneroka diberikan 10 ekar (4.1 hektar) untuk menanam sama ada kelapa sawit atau getah, serta sebidang tanah kecil untuk membina sebuah rumah. Hasil tanaman ini akan dijual kepada Felda.
Memandangkan Felda membuat jutaan ringgit daripada harga minyak sawit yang tinggi, agensi itu mempelbagaikan aktiviti perniagaannya dan masuk ke dalam bidang logistik, hartamah dan perhotelan.
Agensi itu menubuhkan entiti korporat, seperti Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dan Felda Investment Corp (FIC), untuk mengendalikan perniagaan bukan berkaitan perladangan.
Perkara yang menjadi buruk semasa di bawah bekas pengerusi Mohd Isa Samad, sekutu Najib Razak, dari 2011 hingga 2017.

Antara urus niaga kontroversi dan rugi semasa zaman Isa ialah:
* Penyenaraian FGVH pada 2012. Ia merupakan salah satu tawaran awam permulaan terbesar pada tahun itu tetapi sahamnya kerugian 60% daripada nilainya sejak itu.
* Pembelian 37% pegangan dalam syarikat perladangan Indonesia Eagle High Plantations. Felda dianggarkan rugin RM1.7 bilion dalam urus niaga itu. Ia kini menamatkan perkongsian dan menuntut RM2 bilion daripada firma berpusat di Jakarta itu.
* Membeli rangkaian hotel dan hartanah mewah di Kuching, Kuala Lumpur dan United Kingdom. Penjualan hartanah ini sedang dilakukan.
* Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), yang sepatutnya menempatkan ibu pejabat baru Felda. Felda sedang berusaha mendapatkan semula pemilikan projek itu selepas ia dipindahkan secara misteri kepada pemaju.
Selepas Isa meletakkan jawatan, penggantinya, Shahrir Abdul Samad mengumumkan rancangan membatalkan hampir semua keputusan diambil Isa.
Pada Disember 2018, Isa didakwa melakukan jenayah pecah amanah jenayah dan menerima rasuah berhubung pembelian hotel di Kuching oleh FIC.
Bekas Ahli Parlimen Pandan dan pengkritik Felda Rafizi Ramli mendedahkan pada 2011, Felda mempunyai rizab tunai sebanyak RM3.9 bilion.
Pada 2016, jumlah itu berkurangan kepada RM434 juta.
Pada 2009, ketika Najib menjadi perdana menteri, hutang kumpulan perladangan itu adalah RM1.5 bilion. Menjelang 2018, ia bertambah kepada RM8 bilion.
Apa yang perlu diperbaiki?
Kumpulan peneroka memberitahu The Malaysian Insight perkara paling utama adalah menyelesaikan masalah aliran tunai Felda yang berpunca daripada urus niaga di atas.
Masalah wang Felda melumpuhkan keupayaannya membayar peneroka tepat pada waktunya, kata satu kumpulan kebajikan peneroka, Pengerusi Suara Generasi Kedua Felda (SGK2F) Zulkefli Nordin.
Peneroka biasanya menuai dan menjual hasil tandan kepada Felda dua kali sebulan. Beberapa tahun yang lalu, Felda akan membayar mereka selepas setiap tuaian.
Kini, agensi itu bergelut membayar mereka tepat pada masanya walaupun untuk tempoh sekali sebulan, kata Zulkefli. – 9 April, 2019.
Berita penuh di sini
Komen